205 motosikal diperiksa, 190 saman dikeluarkan
205 motosikal diperiksa, 190 saman dikeluarkan
TEMERLOH: Sebanyak 190 saman dikeluarkan terhadap pemilik motosikal dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Tengku Ismail, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh dan tiada insurans kenderaan.
Katanya, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Temerloh susulan aduan orang awam yang tidak selesa dengan tindakan sekumpulan remaja berkumpul.
“Mereka bukan sahaja membuat bising dan menunggang motosikal secara melulu hingga membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
“Hasil operasi, sebanyak 205 motosikal ditahan untuk pemeriksaan dan polis mengeluarkan 190 saman atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi berkenaan diketuai enam pegawai bersama 42 anggota yang memberikan tumpuan kepada penguatkuasaan terhadap penunggang motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas serta disyaki terbabit dalam aktiviti samseng jalanan.
Beliau berkata, sebanyak 17 motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan kesalahan serius.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai khususnya pelajar sekolah supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan peraturan lalu lintas yang ditetapkan serta mengutamakan aspek keselamatan ketika menunggang motosikal.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan lalu lintas.
“Operasi ini akan diteruskan secara berterusan bagi membendung kegiatan samseng jalanan daripada terus berleluasa,” katanya.-SAHIH
