Panglima Tentera Darat diarahkan cuti serta-merta, siasatan SPRM berjalan
Panglima Tentera Darat diarahkan cuti serta-merta, siasatan SPRM berjalan
KUALA LUMPUR, – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah pentadbiran bagi membolehkan siasatan ke atasnya dijalankan dengan lancar.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, arahan cuti itu bertujuan mengelakkan sebarang konflik kepentingan sepanjang proses siasatan berlangsung.
Menurutnya, tindakan berkenaan adalah sementara dan tidak menjejaskan prinsip keadilan, selain memastikan siasatan dapat dilaksanakan secara bebas, telus dan berintegriti.
Sebelum ini, media melaporkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu bagi memulakan siasatan awal berkaitan beberapa projek Tentera Darat yang dilaksanakan sejak 2023.
Siasatan tertumpu kepada projek perolehan yang dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Hasil semakan awal SPRM mendapati sebanyak 158 projek perolehan Tentera Darat bernilai melebihi RM500,000 telah diluluskan bagi tempoh 2023 hingga 2025, selain 4,521 projek perolehan lain bernilai di bawah RM500,000.
SPRM kini sedang meneliti dokumen berkaitan bagi menentukan sama ada wujud sebarang unsur salah laku atau pelanggaran tatakelola dalam pelaksanaan projek terbabit.-SAHIH
