Badan Gabungan MKN Digesa Perkasa Warisan Seni Budaya Pahang
Foto : Antara perwakilan yang hadir ke Mesyuarat Agung Kali Ke-4 MKN Sesi 2025–2026 yang berlangsung di sini, hari ini.
Badan Gabungan MKN Digesa Perkasa Warisan Seni Budaya Pahang
KUANTAN – Semua badan gabungan di bawah Majlis Kebudayaan Negeri (MKN) Pahang, digesa supaya terus proaktif memajukan kegiatan seni dan budaya di kawasan masing-masing bagi memastikan warisan negeri ini kekal terpelihara dan relevan merentas generasi.
Timbalan Pengerusi MKN Pahang, Datuk Seri Wan Wahid Wan Hassan, berkata setiap badan gabungan sewajarnya merancang serta menyelaraskan projek dan aktiviti kebudayaan secara bersepadu bagi meningkatkan dan memperkasakan seni budaya, khususnya yang berasal dari negeri Pahang.
“Usaha mempertahankan seni budaya tempatan bukan sahaja menjadi tanggungjawab bersama, malah merupakan hak milik warisan negeri yang perlu dipelihara agar tidak ditelan arus pemodenan.
“Selain mempertahankan identiti budaya Pahang, kita juga perlu mengetengahkan hasil karya serta bakat seni karyawan dan budayawan tempatan untuk dibawa ke peringkat nasional,” katanya di Mesyuarat Agung Kali Ke-4 MKN Sesi 2025–2026 yang berlangsung di sini, hari ini.
Mesyuarat berkenaan menghimpunkan seramai 75 orang perwakilan yang mewakili 15 badan gabungan, sekali gus menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama, menyelaras hala tuju serta merangka program kebudayaan yang lebih berimpak tinggi demi kelangsungan seni budaya negeri Pahang.-SAHIH.
