“55 Inisiatif Bajet 2026 Bukti Kerajaan Pahang Prihatin Rakyat” – Razak Daud
“55 Inisiatif Bajet 2026 Bukti Kerajaan Pahang Prihatin Rakyat” – Razak Daud
JERANTUT – Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud, menyifatkan Belanjawan Pahang 2026 sebagai antara bajet paling komprehensif apabila kerajaan negeri memperkenalkan 55 inisiatif rakyat merangkumi pendidikan, kebajikan, agama, sosial dan pembangunan insan.
Razak, yang juga Ketua UMNO Felda Jengka 24 merangkap Timbalan Naib Pengerusi JKKR Felda Jengka 24 serta EXCO JKKR Wilayah Jengka, berkata belanjawan itu menunjukkan komitmen kerajaan Pahang dalam memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima manfaat.
Menurutnya, jumlah keseluruhan RM845.9 juta bagi pelaksanaan program IM Pahang membuktikan kerajaan negeri memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa.
Beliau berkata, beberapa inisiatif yang diumumkan secara langsung memberi manfaat besar kepada komuniti Felda, terutama bantuan pendidikan, kebajikan masjid dan sokongan kepada keluarga B40 di luar bandar.
Antara inisiatif itu termasuk Program Tunas Makmur untuk menyediakan kelengkapan sekolah, insentif kecemerlangan SPM, STPM dan STAM, bantuan makanan pelajar serta RM400 kepada pelajar IPTA seluruh Pahang.

Dalam masa sama, kerajaan Pahang turut mengumumkan peruntukan besar untuk sektor agama seperti RM7.95 juta kepada masjid, RM4,000 kepada surau Jumaat serta bantuan khas Aidilfitri kepada imam, bilal, siak, guru takmir, guru KAFA dan pengurus jenazah.
“Sebagai Pengerusi 37 masjid Felda Wilayah Jengka, saya amat menghargai perhatian kerajaan terhadap keperluan syiar Islam dan kebajikan petugas masjid. Peruntukan ini sangat membantu kelangsungan operasi masjid di kawasan Felda,” katanya.
Tambah Razak, belia dan golongan berpendapatan rendah turut menerima manfaat menerusi pemberian 10,000 topi keledar percuma untuk B40, OKU dan warga emas serta bantuan RM200 kepada petani dan nelayan melalui kluster B40.
Beliau menyifatkan pembentangan itu sebagai bajet yang menyeluruh kerana merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang, lokasi dan pendapatan.
“Setiap kluster disentuh. Ada untuk pelajar, warga emas, penjawat, komuniti, petani, nelayan, imam, bilal, asatizah dan pekerja sosial. Ini membuktikan kerajaan Pahang benar-benar mendahulukan rakyat,” katanya.
Razak dalam masa sama mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas perhatian berterusan terhadap pembangunan komuniti Felda Jengka, khususnya di aspek pendidikan dan sosial.

Beliau berharap semua inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberikan impak langsung kepada masyarakat luar bandar di seluruh negeri.
“Saya yakin bajet ini akan memperkasa pendidikan generasi muda, menguatkan institusi masyarakat dan terus memakmurkan rakyat Pahang,” katanya.-SAHIH
