“2 jam licin! Daging 4 kerbau jadi rebutan penduduk terkepung banjir”
“2 jam licin! Daging 4 kerbau jadi rebutan penduduk terkepung banjir”
JERANTUT – Empat ekor kerbau habis diborong dalam tempoh dua jam apabila gerai Syarikat Kandang Emas di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, menjadi tumpuan penduduk yang terkepung banjir baru-baru ini.
Pengusahanya, Mohd Faizal Abd Manan, 45, berkata keputusan menyembelih kerbau lebih awal dibuat bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan daging kerana sebahagian besar laluan ke bandar Jerantut ditutup akibat dinaiki air.
“Penduduk dari Felda Kota Gelanggi, Felda Lepar, Felda Jengka dan Pulau Tawar antara yang datang ke gerainya untuk mendapatkan daging pada harga murah, RM28 sekilogram, manakala tulang sup dijual antara RM30 hingga RM40 sekilogram.
“Tiga ekor kerbau habis hampir sejam selepas jualan bermula 8 pagi. Kami terpaksa sembelih seekor lagi kerana pelanggan masih beratur,” katanya.
Menurutnya, jualan laris kali ini turut dibantu hebahan TikTok dan Facebook, menyebabkan orang ramai sudah berbaris seawal 7 pagi.
Mohd Faizal yang sudah 15 tahun mengusahakan kandang itu berkata, harga rendah ditawarkan bagi membantu penduduk berpendapatan rendah yang sukar ke bandar untuk mendapatkan bekalan segar, termasuk bagi majlis kenduri dan peniaga kedai makan.-SAHIH.
