Presiden ANGKASA Kekal Teraju ICA-AP
Presiden ANGKASA Kekal Teraju ICA-AP
Selangor : Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah terus diberi kepercayaan apabila dipilih semula sebagai Naib Presiden International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP) pada pemilihan Ahli Lembaga ICA-AP di Colombo, Sri Lanka, semalam.
Pemilihan itu berlangsung sempena Perhimpunan Serantau ICA-AP ke-17 yang menghimpunkan lebih 30 negara, menjadikan platform itu antara persidangan koperasi paling berpengaruh di Asia Pasifik.
Pelantikan semula beliau mengiktiraf usaha konsisten memperkukuh jaringan koperasi, memacu perdagangan koperasi-ke-koperasi (C-to-C) serta memperluas penyertaan belia dan wanita dalam gerakan koperasi.
Datuk Seri Dr. Abdul Fattah berkata, mandat tersebut adalah amanah besar untuk memastikan kepentingan koperasi Malaysia terus dipertahankan di peringkat serantau.
“Saya menghargai keyakinan negara anggota. Pemilihan ini adalah tanggungjawab besar terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan cabaran sosial,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada kerajaan termasuk KUSKOP atas sokongan terhadap usaha ANGKASA.
Perhimpunan berkenaan turut mengangkat tema “Cooperatives Build a Better World”, dengan delegasi menyertai forum, bengkel, dialog strategik bersama kerajaan serta organisasi antarabangsa.
Antara isu utama dibincangkan ialah keselamatan makanan, transformasi digital, ekonomi hijau, sistem kewangan koperasi, pemerkasaan komuniti serta pembangunan belia.
Malaysia melalui ANGKASA turut memainkan peranan aktif termasuk memperkenalkan model perdagangan C-2-C Malaysia dan mempamerkan kejayaan koperasi pengguna, koperasi sekolah, koperasi kariah masjid serta produk koperasi yang semakin menarik perhatian negara anggota.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik dipilih sebagai Pengerusi ICA-AP Committee on Agriculture & Environment (ICAE) serta kekal sebagai Naib Pengerusi Committee on Consumer Cooperation.

Naib Presiden ANGKASA, Datuk Haji Che Mohd Shukree Che Isa pula dilantik semula sebagai Naib Pengerusi ICA-AP Credit & Banking Committee.
Dengan tiga pelantikan utama ini, Malaysia berada pada kedudukan lebih kukuh mempengaruhi dasar koperasi serantau, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama dan perdagangan rentas negara melalui gerakan koperasi.-SAHIH
