YKBM, NGO siap siaga hadapi banjir di Temerloh
YKBM, NGO siap siaga hadapi banjir di Temerloh
TEMERLOH – Yayasan Kita Bangsa Malaysia (YKBM) bersama 17 badan bukan kerajaan (NGO) dan tujuh agensi kerajaan menjalankan penyelarasan awal bagi menghadapi Monsun Timur Laut dengan memberi tumpuan kepada tenaga sukarelawan, logistik dan penyampaian bantuan kecemasan.
Pengerusi Yayasan Kita Bangsa Malaysia (YKBM) , Jamil Yaakob, berkata sesi libat urus itu julung kali diadakan bagi memastikan pergerakan bantuan dilakukan secara tersusun mengikut garis panduan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).
“YKBM bertindak sebagai pemudah cara untuk menyelaras semua NGO dan agensi kerajaan. Matlamatnya supaya bantuan digerakkan dengan lebih teratur tanpa berlaku pertindihan atau lambakan bantuan makanan.

(kiri) Jamil Yaakob, Pengerusi Yayasan kita bangsa Malaysia (YKBM)
“Keutamaan kita ketika ini ialah tenaga sukarelawan. Bantuan berbentuk makanan atau kewangan akan diselaraskan berdasarkan keperluan semasa,” katanya ketika ditemui media pada Program Persediaan Monsun Timur Laut di Temerloh, hari ini.
Menurutnya, koordinasi bersama agensi kerajaan turut memastikan pergerakan sukarelawan ke kawasan terjejas dapat dilakukan tanpa gangguan terutama ketika laluan ditutup atau terputus hubungan.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Temerloh, Muhammad Hafizul Abu Gani, berkata daerah itu mempunyai 96 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diisytiharkan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.
Katanya, sebanyak 33 pengkalan hadapan diwujudkan untuk menyimpan bekalan makanan bagi kawasan berisiko terputus hubungan termasuk Batu Kapur, Temerloh Jaya, Kampung Peragap ,Kampung Ketam serta beberapa kampung berhampiran sungai.
“Kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan kita bangsa Malaysia ( YKBM) adalah inisiatif baharu yang membantu penyelarasan tenaga dan logistik dalam pengurusan mangsa banjir,” katanya.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Temerloh, Muhammad Hafizul Abu Gani
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan pembinaan sebuah Pusat Pemindahan Tetap Daerah Temerloh di Batu Kapur, yang dijangka mampu menampung kira-kira 400 keluarga.
Persiapan banjir di Temerloh turut membabitkan 93 Jawatankuasa Pengurusan Kampung (JPKK) di 19 mukim, dengan 14 penghulu kini bertugas menyelaras maklumat dan operasi di peringkat kampung.-SAHIH
