Ukhwah bikers jadi tumpuan, KPD Pekan pesan jauhi samseng jalanan
Ukhwah bikers jadi tumpuan, KPD Pekan pesan jauhi samseng jalanan
PEKAN – Program Kenduri Rhodong Bikers di Pantai Lagenda Pekan menarik kehadiran hampir 20,000 pengunjung sepanjang berlangsungnya acara berkenaan.
Lebih 1,200 hingga 1,500 bikers dari seluruh Pahang turut menyertai program itu, menjadikannya antara perhimpunan permotoran terbesar di daerah ini.
Program anjuran Tengku Datuk Ashraf Tengku Datuk Sri Asmawi dengan PVG X Touring sebagai penganjur bersama berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, peminat permotoran dan pelancong tempatan.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Polis Daerah Pekan, Supt Mohd Zaidi Mat Zin, sebagai tanda sokongan PDRM terhadap penganjuran aktiviti permotoran yang teratur dan berdisiplin.

Dalam ucapannya, Supt Zaidi menegaskan bahawa komuniti bikers berperanan besar membentuk imej positif jika terus mengamalkan disiplin dan etika ketika menunggang.
“Minat permotoran perlu disalurkan melalui aktiviti sihat seperti ini. Jangan sesekali terlibat dalam lumba haram atau bertindak seperti samseng jalanan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya sentiasa mengutamakan keselamatan dengan memakai peralatan perlindungan diri lengkap, mematuhi had laju dan mengelakkan sebarang aksi berbahaya.
Program berkonsep kenduri kampung itu dimulakan dengan acara rewang pada malam sebelumnya yang disertai bikers dan penduduk setempat melalui aktiviti gotong-royong.

Kenduri utama pada keesokan harinya menjadi tumpuan pengunjung yang ingin merasai suasana tradisi majlis kampung dengan hidangan pelbagai menu.
Acara turut diserikan dengan solat berjemaah, tazkirah serta persembahan kebudayaan oleh PESAKA Pekan membabitkan 15 perguruan silat yang mempersembahkan pelbagai seni tempur tradisional.
Persembahan artis tempatan serta aktiviti sukaneka menambah kemeriahan program sekali gus mengukuhkan hubungan antara komuniti bikers dan masyarakat.

Turut hadir, ASP Ruslan Ahmad, Bahagian Perlesenan IPD Pekan.
Program ini dijangka dijadikan acara tahunan bagi mempromosikan budaya permotoran beretika serta mengangkat bikers sebagai agen penyatuan masyarakat.-SAHIH
