Ketua Geng ‘Musang’ tumpas — 5 kes curi kabel ECRL selesai
Ketua Geng ‘Musang’ tumpas — 5 kes curi kabel ECRL selesai
TEMERLOH: Polis menumpaskan ketua sindiket dikenali sebagai Geng Musang yang aktif mencuri kabel projek East Coast Rail Link (ECRL) selepas menahan dua lelaki dalam operasi khas di Jalan Kampung Batu 3, Jalan Karak, di sini, Khamis lalu.
Serbuan antara jam 9 hingga 9.15 malam itu dilakukan pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menerusi Op Signal, hasil kerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, bagi memburu suspek utama yang terbabit dalam lima kes kecurian kabel di laluan Temerloh hingga Karak, Bentong, sejak Ogos hingga September 2025.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Nasyim Bahron, berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki Kemboja yang dipercayai ketua kumpulan, manakala seorang lelaki tempatan turut ditahan sebagai rakan subahat.
“Pemeriksaan ke atas lelaki Kemboja berusia 32 tahun yang dikenali sebagai Musang menemui satu paket plastik mengandungi serbuk kristal disyaki syabu seberat 5.43 gram, selain sebilah kerambit bersarung berukuran kira-kira 15 sentimeter.
“Manakala pemeriksaan terhadap lelaki tempatan berusia 36 tahun yang dikenali sebagai Sepet membawa kepada rampasan satu lagi paket syabu seberat 5.52 gram,” katanya.
Kedua-dua suspek turut didapati positif methamphetamine melalui ujian air kencing.
Mohd Nasyim berkata, siasatan mendapati Musang tidak memiliki pasport perjalanan sah dan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Suspek kedua, Sepet, mempunyai rekod lampau termasuk satu kes dikehendaki polis serta empat kes narkotik, manakala Musang tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.
Menurutnya, kejayaan tangkapan itu melumpuhkan keseluruhan operasi Geng Musang yang dipercayai bertanggungjawab dalam lima kes kecurian kabel ECRL di Temerloh dan Bentong.
“Kedua-dua suspek direman sehingga 24 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (curi), Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.
Mohd Nasyim berkata, polis kini melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan.
“Polis akan terus mempergiatkan tindakan pencegahan bagi memastikan keselamatan projek ECRL dan aset awam sentiasa terpelihara,” katanya.-SAHIH
