“Bayar tiap bulan, tapi rumah tinggal rangka’
“Bayar tiap bulan, tapi rumah tinggal rangka’
TEMERLOH: “Rumah tak siap, pemaju hilang, tapi bank tetap potong setiap bulan.”
Itu luahan pembeli projek perumahan Taman Chatin Maju, Mentakab, yang mendakwa tertekan selepas projek rumah mereka terbengkalai lebih setahun setengah, sekali gus memaksa mereka mengadakan himpunan aman di tapak projek pagi tadi.
Projek membabitkan lebih 26 unit rumah teres dua tingkat dan beberapa unit lain itu sepatutnya siap pada 2024, namun kerja pembinaan didakwa terhenti sepenuhnya sejak hujung 2023.
Akibatnya, pembeli terpaksa membayar pinjaman bank setiap bulan walaupun rumah masih tidak boleh diduduki, selain keadaan tapak projek semakin rosak terbiar tanpa penyeliaan.
Seorang pembeli, Cheng Kok Tong, 42, berkata rumah bernilai RM338,000 yang dibelinya dijanjikan siap antara April atau Mei 2024, namun sehingga kini hanya kelihatan rumput panjang, pokok liar dan bangunan separuh siap yang semakin uzur.
“Wiring hilang, lantai simen pecah, banyak barang kena curi.
“Saya tak tahu nak buat apa lagi. Bayaran bank RM1,300 sebulan tetap berjalan sejak 2022,” katanya.
Menurutnya, pemaju memberi alasan kekurangan pekerja dan kesan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kerja pembinaan langsung tidak bergerak.
“Kami sudah buat aduan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan jumpa wakil rakyat, tapi tiada tindakan yang benar-benar membantu. Kami harap kerajaan beri perhatian,” katanya.
“Seorang lagi pembeli, Sathasivam A/L Thevaths, 60, berkata dia kini menyewa rumah lain dan pada masa sama membayar pinjaman lebih RM1,300 setiap bulan untuk rumah yang masih belum siap.”
“Rumah memang dah naik, tapi tidak lengkap. Banyak bahagian rosak, wiring hilang. Pemaju langsung tak turun tengok tapak.
“Kami jumpa dia, dia kata masalah kewangan. Semua bayaran kami dah buat, tapi kerja tak jalan,” katanya.
Beliau berkata pemaju berkenaan yang berpangkalan di Kuantan tidak pernah hadir memantau perkembangan atau mencari penyelesaian.

“Kalau tak mampu sambung, serahkan kepada pemaju lain. Kami cuma nak rumah kami siap. Itu saja,” katanya.
Sementara itu, Nedie Lew Sean Yee, 35, berkata dia lebih kecewa apabila hanya menerima sebidang tanah kosong tanpa sebarang pembinaan walaupun deposit dibayar beberapa tahun lalu.
“Tak ada tiang, tak ada lantai, tak ada dinding. Hanya tanah dan rumput.
“Pemaju janji dua minggu, dua minggu… tapi dah lebih setahun langsung tak bergerak,” katanya.
Tambahnya, dia terpaksa menyewa rumah lain dan permohonan pinjaman perumahan turut tergantung kerana projek tidak berjalan.
“Kami bukan orang senang. Sewa kena bayar, keluarga nak ditanggung, deposit pun tak dapat balik. Semua tersekat,” katanya.
Pagi tadi, lebih 20 pembeli berhimpun secara aman di tapak projek bagi mendesak kerajaan Pahang, KPKT dan wakil rakyat setempat turun meninjau keadaan sebenar serta campur tangan menyelesaikan masalah pemaju.
Mereka turut membawa sepanduk dan menyerahkan memorandum kecil menggesa tindakan segera diambil bagi memastikan projek yang terbengkalai itu disiapkan.
“Kami hanya mahu rumah kami siap dan boleh diduduki. Jangan biarkan kami terus menanggung hutang tanpa hala tuju,” kata mereka.-SAHIH
