PBKKTM Terus Perkasa Program Khidmat Masyarakat, Santuni Komuniti Memerlukan
Foto : Sebahagian penduduk hadir pada majlis tahlil yang diadakan PBKKTM di Madrasah Haji Abdul Karim, Kampung Ana, Tumpat, Kelantan.
PBKKTM Terus Perkasa Program Khidmat Masyarakat, Santuni Komuniti Memerlukan
Program Khidmat Masyarakat Persatuan Bekas Kakitangan Keretapi Tanah Melayu (PBKKTM) terus menjadi landasan utama dalam memupuk kesedaran sivik, keinsafan dan rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan ahli serta masyarakat.
Usaha itu bukan sahaja bertujuan menghulurkan bantuan, malah sebagai komitmen persatuan terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menjaga kebajikan golongan memerlukan, termasuk asnaf, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim dan penduduk kurang berkemampuan.

Mohammad Deraman (dua dari kiri) menerima sumbangan daripada Dr Abdul Radzak (tengah) sambil diperhatikan oleh Mohd Rusli Abdullah (kiri).
Yang Dipertua PBKKTM, Dato’ Ts Dr Abdul Radzak Abdul Malek berkata, golongan terjejas wajar menikmati kualiti hidup lebih baik seiring masyarakat lain, termasuk akses kepada kemudahan asas. Katanya, sebagai sebuah NGO, PBKKTM sentiasa mencari sokongan pelbagai pihak bagi membantu bekas kakitangan KTM dan komuniti setempat yang memerlukan perhatian.
Terbaharu, beliau bersama Team Tenaga Penggerak PBKKTM mengadakan kunjungan ke Kampung Ana, Tumpat bagi menyerahkan sumbangan RM2,000 untuk pembinaan kubah madrasah, hasil infak ahli dan individu prihatin.
Program yang berlangsung di Madrasah Haji Abdul Karim itu turut disertai Naib Yang Dipertua PBKKTM, Abd Razak Mohd Yusuf; Penasihat PBKKTM, Dato’ Dr Sukarno Wagiman dan ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.
PBKKTM turut menyampaikan sumbangan RM1,000 bagi pembelian karpet Surau Kampung Tok Oh, selain menyerahkan 18 kotak pakaian terpakai, 20 bakul makanan asas, sebuah kerusi roda dan satu vakum kepada penduduk setempat. Bekas kakitangan KTM yang uzur turut disantuni, antaranya Abdul Rahman yang menerima peti sejuk baharu bagi memudahkannya menyimpan makanan.
Program berkenaan turut menonjolkan komitmen ahli PBKKTM yang masih aktif dalam kegiatan masyarakat, termasuk pengerusi Surau Kampung Tok Oh, Juani Ahmad. Tiga tahun lalu, PBKKTM membina perigi tiub, menyediakan kerusi roda dan bantuan makanan kepada anak angkat persatuan, Zawiyah Deraman.
Menurut Setiausaha PBKKTM, Abdul Rahim Osman, persatuan akan terus memperkasa ekonomi komuniti melalui inisiatif kios peniaga asnaf tegar bagi membantu penduduk menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Usaha itu diyakini mampu memupuk keharmonian sosial dan mengukuhkan hubungan PBKKTM bersama komuniti setempat.-SAHIH.
