Pahang anjur Festival Catur Antarabangsa 2025
Pahang anjur Festival Catur Antarabangsa 2025
TEMERLOH: Pahang bakal melakar sejarah apabila menjadi tuan rumah kepada Festival Catur Antarabangsa Pahang 2025 yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 16 Disember depan di Dewan Tun Razak, di sini, dengan penyertaan lebih 1,000 peserta termasuk pemain bertaraf Grand Master.
Presiden Persatuan Catur Pahang, Hamidah Abdul Hamid, berkata festival julung kali itu menjadi platform penting bagi memperkukuh kedudukan negeri sebagai pusat penganjuran sukan berprestij di peringkat antarabangsa.
Katanya, pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Open, Challenger (rating bawah 1,800) dan Bawah 12 tahun, bagi membuka peluang penyertaan kepada pelbagai peringkat umur dan keupayaan pemain.

Presiden Persatuan Catur Pahang, Puan Hamidah Abdul Hamid (dua dari kanan) bersama Penasihat Persatuan Catur Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail (kiri); Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh, Rizal Mustafa (dua dari kiri); dan Pengerusi MyBHA Pahang, Dato’ Sri Vijay (kanan) pada sidang media pelancaran Festival Catur Antarabangsa Pahang 2025
“Daripada jumlah 1,000 peserta yang disasarkan, kira-kira 300 akan bertanding dalam kategori Open, 200 dalam Challenger dan selebihnya bagi kategori bawah 12 tahun,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran logo festival itu di sini.
Hamidah berkata, antara negara yang sudah mengesahkan penyertaan termasuk China, Iran, Sri Lanka, Australia, Filipina, Thailand, Laos, Vietnam dan Singapura, manakala penyertaan dijangka bertambah sebelum tarikh tutup pada 6 Disember ini.
Menurutnya, festival berkenaan mendapat pengiktirafan Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) dan diiktiraf sebagai aktiviti kokurikulum oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekali gus memberi manfaat kepada pelajar yang menyertainya.
“Kita turut menjemput pemain berstatus Grand Master kerana peluang itu akan membantu meningkatkan mutu permainan pemain tempatan yang beraksi menentang pemain bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata, pertandingan itu turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM50,000 serta melibatkan pengadil antarabangsa bagi memastikan mutu penganjuran setaraf kejohanan antarabangsa.
Hamidah turut memaklumkan peserta akan dibawa melawat beberapa lokasi pelancongan utama sekitar Temerloh pada 13 Disember, termasuk Kuala Gandah dan Titik Tengah Semenanjung Malaysia, sebagai sebahagian pengisian program sepanjang festival berlangsung.
Katanya, penganjuran festival berkenaan menelan kos kira-kira RM120,000, hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Pahang, Majlis Perbandaran Temerloh, Majlis Sukan Pahang, Pelancongan Pahang, Jabatan Belia dan Sukan, serta Jabatan Pendidikan Negeri.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Daerah Temerloh, Rizal Mustafa; Penasihat 1 Persatuan Catur Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; serta Pengerusi MyBHA Pahang, Dato’ Sri Vijay.

Puan Hamidah Abdul Hamid (dua dari kanan) bersama Datuk Seri Muhammad Safian Ismail (kiri), Rizal Mustafa (dua dari kiri) dan Pengerusi MyBHA Pahang, Dato’ Sri Vijay (kanan) pada sidang media Festival Catur Antarabangsa Pahang 2025 di Temerloh.
MyBHA melalui Malaysia Business & Budget Hotel Association (Pahang Chapter) turut menyatakan komitmen menyokong festival itu dengan menawarkan kadar penginapan khas kepada pemain dan pegawai sepanjang kejohanan.
“Kami berharap festival ini dapat menjadi acara tahunan yang memperkukuh kedudukan Pahang dalam sukan catur di peringkat antarabangsa,” katanya.-SAHIH
