LELAKI WARGA EMAS MAUT, MYVI HILANG KAWALAN LANGGAR BMW
LELAKI WARGA EMAS MAUT, MYVI HILANG KAWALAN LANGGAR BMW
TEMERLOH – Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaikinya hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah BMW di Kilometer 147, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan, berhampiran Kampung Desa Bakti, Mentakab, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu, mangsa berusia 79 tahun, yang duduk di bahagian penumpang hadapan Myvi, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit di dalam kenderaan.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata siasatan awal mendapati kereta Myvi dipandu seorang wanita berusia 68 tahun dari arah Lanchang menghala ke Temerloh bersama suami dan anak perempuannya berusia 31 tahun.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu Myvi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebelah kanan BMW yang datang dari arah Temerloh menuju ke Lanchang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, BMW berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun bersama isteri dan anak perempuannya berusia 11 tahun.
“Akibat pertembungan itu, penumpang lelaki warga emas meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lain-lain mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mengesyaki kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Myvi yang gagal mengawal kenderaannya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.-SAHIH
