PEJUANG SUARA PENEROKA DILANTIK KE LEMBAGA FELDA
PEJUANG SUARA PENEROKA DILANTIK KE LEMBAGA FELDA
KUANTAN : Pelantikan Datuk Amizar Abu Adam sebagai Ahli Lembaga FELDA disambut dengan penuh kesyukuran dan rasa bangga oleh warga Felda Wilayah Jengka yang melihatnya sebagai pengiktirafan terhadap pemimpin muda berjiwa rakyat.
Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Wilayah Jengka merangkap Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud, berkata pelantikan itu memberi harapan baharu kepada komuniti peneroka yang sentiasa mendambakan suara wakil akar umbi di peringkat tertinggi pentadbiran Felda.
“Datuk Amizar seorang pemimpin yang dekat dengan masyarakat dan memahami kehidupan warga tanah rancangan. Beliau banyak membantu memperjuangkan nasib peneroka serta memberi tumpuan kepada pembangunan generasi baharu,” katanya.
Razak berkata, Datuk Amizar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dalam memacu inisiatif keusahawanan dan memperkukuh ekonomi peneroka.

RAZAK DAUD
Menurutnya, seluruh peneroka Wilayah Jengka yakin pelantikan Datuk Amizar akan membawa nafas baharu dalam memperkasakan dasar dan hala tuju Felda agar terus relevan dan berdaya saing.
“Sebagai Presiden Pertubuhan Kami Anak Felda Malaysia (KAF), beliau memang dikenali sebagai pejuang suara warga Felda. Kami percaya beliau akan mengangkat martabat peneroka dengan penuh tanggungjawab dan amanah,” katanya.
Razak turut menzahirkan ucapan tahniah dan mendoakan agar Datuk Amizar terus diberikan kekuatan, kebijaksanaan serta keberkatan dalam menggalas tanggungjawab besar demi kesejahteraan komuniti Felda seluruh negara.- SAHIH
