PENGGIAT PELANCONGAN KUALA TAHAN LEGA
PENGGIAT PELANCONGAN KUALA TAHAN LEGA
JERANTUT : Penduduk Kuala Tahan yang menjalankan aktiviti berasaskan produk pelancongan bersyukur kawasan itu dibenarkan beroperasi semula kepada pelancong mulai 23 Oktober setelah ditutup, membolehkan mereka menjana pendapatan masing-masing .
Mereka turut berterima kasih kepada Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Menteri Besar Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri yang juga Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin serta Ahli Parlimen Jerantut dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Tahan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kesejahteraan Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman berkata, arahan penutupan itu menyebabkan pengusaha pelancongan di kawasan itu hilang mata pencarian dan menjejaskan pendapatan penduduk.
“Kami yang menjalankan kegiatan pelancongan sebagai mata pencarian utama untuk menyara keluarga terkesan dengan penutupan kali kedua bermula 6 Oktober sedangkan bilangan kehadiran pelancong domestik semakin meningkat sejak dibuka semula Julai lalu.
“Kira-kira 170 pemandu pelancong, 78 pengusaha bot di Sungai Tahan, 30 pengusaha bot di Sungai Tembeling, 17 agensi pelancongan dan 38 pengusaha penginapan terkesan dengan penutupan yang tidak dijangka ekoran penularan pendemik COVID-19 di kawasan merah di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya,”katanya.
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong, Mohamad Anas Zainuddin berkata, berliau berterima kasih kepada semua pihak yang membenarkan kawasan Taman Negara Kuala Tahan dibuka semula ekoran memorandum yang dihantar kepada pihak berkaitan.
“Pembukaan semula (Kuala Tahan) melegakan kami yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan pelancongan dan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh pada pertengahan November sehingga Disember serta persediaan perbelanjaan persekolahan sesi baharu anak masing-masing tahun hadapan.
“Walau begitu, pihak kami akan bertindak sepenuhnya menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai membantu membenteras penularan gejala ini, serta cuba menggunakan aplikasi E-Wallet sebagai meningkatkan penggunaan teknologi ” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, bersyukur dengan pembukaan semula Taman Negara Kuala Tahan kerana memberi rezeki kepada pengiat pelancongan yang sudah terkesan dengan penutupan kali pertama bermula 18 Mac lalu.
Katanya, kawasan Kuala Tahan, daerah Jerantut, malah negeri Pahang masih di bawah kawalan dan berada di zon hijau, agak mustahil perlu ditutup untuk pengunjung luar khususnya yang datang dari kawasan zon hijau juga.
ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berkata dengan pembukaan semula diharap semua penduduk dan pengiat pelancongan menjaga semua SOP yang diarahkan demi keselamatan semua pihak.
“Setelah dibuka semula Julai lalu, pengunjung mula datang dan aktiviti pelancongan berjalan rancak dan lancar khususnya di hujung minggu dan memberi kelegaan serta dapat membantu kehidupan mereka,”katanya.
Kira-kira 400 orang penggiat pelancongan Taman Negara Kuala Tahan menerima bantuan keperluan barangan dapur daripada Pejabat Parlimen Jerantut dan ADUN Tahan.