BERSATU Pahang Tuntut Rampasan Penuh Ladang Musang King Haram
BERSATU Pahang Tuntut Rampasan Penuh Ladang Musang King Haram
SHAH ALAM– BERSATU Pahang mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan tegas merampas sepenuhnya ladang durian Musang King haram yang telah beroperasi sejak puluhan tahun lalu di negeri itu.
Ketua Penerangan BERSATU Pahang, Datuk Rofaie Hamdan berkata, pencerobohan tanah itu bukan sahaja mengakibatkan kehilangan hasil cukai mencecah RM30 juta, malah merosakkan hutan simpan, mencemarkan sungai dan menyebabkan banjir lumpur saban tahun.
“Ladang haram ini seluas dua kali ganda Putrajaya. Walaupun Sultan Pahang pernah bertitah mengenai isu ini, kerajaan negeri masih lemah dan tidak tegas kerana terikat dengan kepentingan politik,” katanya ketika ditemui selepas membahaskan usul di Persidangan Agung Tahunan BERSATU 2025, di sini.
Beliau mencadangkan penubuhan Perbadanan Musang King Rakyat Pahang (PMKP) untuk menguruskan ladang secara profesional, seumpama Felcra atau Tabung Haji, agar hasil jualan bernilai ratusan juta ringgit setiap musim dapat diagihkan kembali kepada rakyat.
“Jika kerajaan berani bertindak, kita boleh pastikan jenama Musang King Pahang terus kukuh, dimiliki rakyat dan tidak jatuh ke tangan asing,” tegasnya.-SAHIH