MUHYIDDIN SELESAI MENGHADAP AGONG
BEREDAR TANPA BERI SEBARANG KOMEN
KUANTAN: Perdana Menteri meninggalkan Istana Abdul Aziz di Indera Mahkota, Kuantan lewat petang tadi selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kenderaan membawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat beredar dari istana jam 7.10 malam selepas kira-kira dua jam setengah berada di situ.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pagoh itu tidak memberikan sebarang kenyataan kepada petugas media yang menunggu di luar pintu utama Istana AbdulAziz.
Muhyiddin Yassin/gambar fail ihsan SCMP
Selain itu, kenderaan membawa Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Affendi Buang antara yang dilihat keluar dari istana.
Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah atau empat menteri kanan turut menyertai menghadap Seri Paduka.
Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri atau Istana Negara belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertemuan itu walaupun pelbagai spekulasi mula kedengaran sejak semalam.
Terdahulu, kenderaan yang membawa Perdana Menteri dilihat memasuki Istana Abdul Aziz pada jam 4.40 petang, diiringi pasukan keselamatan dan sejumlah kenderaan rasmi kerajaan negeri Pahang.
Spekulasi bertiup kencang bahawa Perdana Menteri akan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi melaksanakan darurat kesihatan ekoran penularan COVID-19.
Menurut sumber, keputusan diambil bukan saja bagi mengekang penularan wabak berkenaan tetapi juga untuk memudahkan urusan kerajaan.
Pada masa sama, ada pihak mendakwa Perdana Menteri akan mengumumkan darurat politik dan penggantungan Parlimen selama enam bulan.
Sumber: Malaysiapost