Bukan Cuma Cantik, Pulau Tioman Kini Lebih Bersedia Hadapi Kecemasan
Bukan Cuma Cantik, Pulau Tioman Kini Lebih Bersedia Hadapi Kecemasan
PULAU TIOMAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang memperkukuh aspek keselamatan di pulau peranginan ini menerusi Program Jalinan Mesra bersama komuniti selama dua hari bermula 11 Ogos lalu.
Program membabitkan empat kampung iaitu Kampung Mukut, Kampung Air Batang, Kampung Salang dan Kampung Juara itu disempurnakan Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim yang diiringi Timbalan Pengarah JBPM Pahang, YH Tok Muda PPjB Wan Ahmad Fadillah Datuk Wan Abdul Rahman.
Mohd Razam berkata, program itu menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan jabatan dengan penduduk setempat selain meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, khususnya di kawasan tanpa balai bomba.
“Keselamatan komuniti adalah tanggungjawab bersama. JBPM akan terus memberikan latihan dan bimbingan kepada Pasukan Bomba Komuniti bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.

Dalam majlis itu, empat Pasukan Bomba Komuniti membabitkan 80 ahli dilatih sebagai responden awal menerima sijil penyertaan masing-masing. Ia melibatkan Kampung Mukut (10 ahli), Kampung Air Batang (23), Kampung Salang (10) dan Kampung Juara (37).
Mereka mengikuti latihan asas termasuk penggunaan alat pemadam api, bantuan pernafasan (CPR), pertolongan cemas dan keselamatan di air. JBPM turut merasmikan Pos Alat Pemadam Api di setiap kampung terlibat.
Keempat-empat kampung itu merupakan lokasi tumpuan pelancong. Antaranya, Kampung Juara mempunyai 23 resort dengan kapasiti maksimum 450 tetamu, manakala Kampung Salang menerima sehingga 400 pelancong pada satu masa.

Kedudukan kampung yang hanya boleh diakses melalui jalan darat, laut atau udara serta jaraknya dari Balai Bomba Kampung Tekek menjadikan penubuhan pasukan komuniti sebagai langkah strategik.-SAHIH