AWAN KARPET BUKIT PANAU
Keajaiban Awan Karpet Di Bukit Panau menjadi tarikan pelancong dan keindahan pemandangan di puncak gunung atau bukit itu berbeza dengan keindahan di pantai.
Di puncak gunung anda disajikan pemandangan yang luas terbentang dengan warna kehijauan manakala di pantai anda dapat menyaksikan biru dan putih gabungan air laut dan langit.
Kepada yang sukakan aktiviti lasak seperti mendaki atau hiking, anda boleh mencuba mendaki Bukit Panau, Kampung Baru Jerantut, Pahang yang tidak jauh dari pusat bandar Jerantut. Bukan sahaja dapat menikmati pemandangan hijau malah dapat melihat kejadian awan karpet yang memukau.
Ketinggian Bukit Panau 396 meter. Cabaran menaiki bukit ini memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang kuat.
Trek yang mengambil masa 45 minit hingga sejam ini perlu merentasi bukit berbatu, semak dan curam kira-kira 45 darjah.
Anda boleh saksikan awan karpet sekiranya pendakian anda bermula awal pagi kerana fenomena ini berlaku pada jam tujuh hingga lapan pagi.
Anda akan terpegun dengan keindahan awan yang memutih seolah-olah karpet yang terbentang luas di hadapan mata.
Pengunjung dari Temerloh, Norrihan Sabron, 30, berkata dia selalu berkunjung banyak tempat di Pahang, di Bukit Panau adalah salah satu tempat yang cantik dan tenang dan harus dijaga dan dipelihara daripada dicemari dan diterokai tanpa perancangan.
”Saya selalu kembara, hiking di sekitar Pahang, walaupun Bukit Panau kali pertama saya daki tapi ia sangat cantik dan boleh dijadikan tarikan pelancong,” katanya.
Pemandu pelancong sambilan, Shukran Firdaus Nazman, 29, berkata di Bukit Panau sudah lama menjadi tempat menenangkan fikiran pada orang kampong di situ khusus orang muda yang sukakan cabaran mendaki.
“Sebenarnya Bukit Panau sudah lama menjadi tempat orang kampung di sini mendaki sejak awal tahun 2019, kami aktif dan mempromosikan kepada orang luar setelah mempunyai potensi dan produk pelancong berasakan alam sekitar,” katanya.
Para pengunjung boleh layari laman social Facebook Bukit Panau atau layari Instagram Bukit Panau untuk maklumat lanjut.