GABUNGAN MASJID FELDA JENGKA HARGAI JASA AJK LAMA, KUKUHKAN KEPIMPINAN BAHARU
GABUNGAN MASJID FELDA JENGKA HARGAI JASA AJK LAMA, KUKUHKAN KEPIMPINAN BAHARU
JENGKA – Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka terus melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan Majlis Penyerahan Watikah dan Apresiasi Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka 2025, hari ini.
Majlis itu menghimpunkan barisan Jawatankuasa (AJK) lama dan baharu yang diraikan dalam suasana penuh tertib dan harmoni.
Program berkenaan disempurnakan oleh Pengarah FELDA Wilayah Jengka, Tarmizi Lee, yang juga Penasihat Gabungan Masjid Wilayah, serta Tuan Kadi Daerah Jengka, Tuan Nik Ibrahim Nik Abdullah dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jengka.
Menurut Pengerusi Gabungan Masjid FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud, penganjuran majlis tersebut adalah sebagai tanda penghargaan terhadap jasa AJK sesi 2021–2023 serta memberi semangat kepada barisan baharu bagi sesi 2024–2026.
“Sejak penubuhannya, Gabungan Masjid memainkan peranan penting membantu pengurusan FELDA dalam aspek pembangunan rohani, komuniti dan kebajikan masyarakat, khususnya melalui penganjuran program keagamaan serta bantuan kepada mangsa musibah.
“Namun kekuatan pelaksanaan aktiviti ini bergantung kepada sumbangan dana yang disalurkan oleh setiap masjid rancangan,” katanya.
Tambah beliau, usaha memperkukuh sinergi antara Gabungan Masjid dan PAID serta agensi lain akan terus diperkasa melalui pelbagai program bersepadu.
Majlis penyerahan tersebut berlangsung di Teratak Mercu,Bandar Pusat Jengka, watikah berkenaan turut menyaksikan penyertaan wakil-wakil masjid dari seluruh FELDA Wilayah Jengka sebagai simbolik kepada komitmen berterusan dalam memperkukuh peranan institusi masjid di peringkat akar umbi.-SAHIH