‘Sedih Tengok Adik Bertudung Jaga Kaunter Jual Arak’
‘Sedih Tengok Adik Bertudung Jaga Kaunter Jual Arak’
MARAN – Seorang pengguna media sosial meluahkan rasa kecewa dan sedih selepas menyaksikan seorang pekerja wanita Muslim yang bertudung terpaksa menguruskan pembelian minuman keras di sebuah pasar raya rantaian di daerah ini.
Menurut lelaki terbabit, dia jarang mengunjungi premis berkenaan kerana mengetahui ia menjual arak, namun terpaksa berbuat demikian kerana hanya di situ terdapat jenama tisu tertentu yang dicarinya.
“Saya memang tak suka masuk Speedmart sebab mereka jual arak, tapi hari ni saya tiada pilihan kerana hanya di situ saja ada jual tisu yang saya cari,” katanya dalam satu video yang kini tular di TikTok.
Katanya, ketika ingin membuat pembayaran, dia ternampak seorang pelanggan lelaki bukan Islam membeli beberapa botol minuman keras, manakala pekerja yang menjaga kaunter tersebut adalah seorang wanita Muslim.
“Saya rasa sangat sedih… tak boleh buat apa-apa. Bila tengok adik bertudung itu kena scan botol arak, saya rasa berdosa kalau tak buat sesuatu,” katanya.
Susulan itu, lelaki berkenaan mendekati pengurus premis terbabit dan menyuarakan rasa tidak puas hati. Menurutnya, pengurus wanita berkenaan memaklumkan mereka telah beberapa kali memohon agar lesen jualan arak dihentikan namun tiada tindakan daripada pihak atasan.
“Kami tak setuju dengan penjualan arak, tapi kami tak ada kuasa. Semua keputusan dibuat oleh pihak pengurusan pusat,” kata pengurus itu.
Lelaki itu juga mendakwa sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa agama dan berharap isu penjualan arak di premis itu dapat ditangani segera.-SAHIH