PIBG SMK Damak Seru Perkukuh Disiplin Remaja – Pelajar Cemerlang Raih Anugerah
PIBG SMK Damak Seru Perkukuh Disiplin Remaja – Pelajar Cemerlang Raih Anugerah
JERANTUT – Isu disiplin dan pembentukan akhlak dalam kalangan remaja menjadi fokus utama dalam Majlis Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damak yang berlangsung meriah semalam.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud yang turut menyampaikan ucapan penuh bersemangat, menegaskan kepentingan peranan ibu bapa dalam menangani cabaran sosial yang semakin kompleks dalam kalangan pelajar masa kini.
“Kita tidak boleh hanya menyerahkan tanggungjawab kepada guru. Disiplin dan akhlak anak-anak mesti dibentuk bermula dari rumah, dengan perhatian, sempadan dan kasih sayang,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan gejala sosial seperti ponteng sekolah, buli, penyalahgunaan vape dan pengaruh budaya tular yang boleh menjejaskan masa depan remaja.
Razak turut menyeru ibu bapa agar lebih aktif dalam PIBG, menyokong program sekolah serta berperanan sebagai sahabat kepada anak-anak demi membentuk generasi berakhlak dan berdaya saing.
Majlis itu turut dihadiri seramai 250 orang ibu bapa, pelajar dan meraikan pencapaian membanggakan pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Antaranya ialah Joe Tan Zu Jenn yang memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Dalam bidang sukan, pasukan hoki lelaki bawah 18 tahun muncul johan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut, manakala pasukan hoki perempuan dan bola baling perempuan masing-masing meraih tempat ketiga.
SMK Damak juga mewakili daerah 8 77 dalam pertandingan tarian peringkat negeri serta bakal mewakili negeri Pahang ke pertandingan dikir barat Zon Timur tahun ini.
Pasukan dikir barat sekolah ini turut pernah menyertai Festival Kebudayaan Antarabangsa pada tahun 2023.
Majlis diserikan dengan kehadiran mantan pengetua SMK Damak, Mahadi bin Mahmood; mantan Yang Dipertua (YDP) PIBG sesi 2024/2025, Zulkifly bin Mahmud; serta YDP baharu sesi 2025/2026, Ahmad Faroq bin Fauzi. Turut hadir,
Penghulu Khairul Anuar bin Yusof dan barisan guru serta ibu bapa yang komited menyokong pembangunan holistik pelajar.-SAHIH