Bomba Komuniti Tingkat Kesiapsiagaan di Kawasan Peneroka Jengka
Bomba Komuniti Tingkat Kesiapsiagaan di Kawasan Peneroka Jengka
KUANTAN, — Usaha memperkasa aspek keselamatan kebakaran di kawasan Jengka terus diperkukuh menerusi penubuhan Pasukan Bomba Komuniti dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang.
Pengarah JBPM negeri, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Razam Taja Rahim berkata, sebuah Pasukan Bomba Komuniti yang dianggotai 15 orang telah ditubuhkan di Jengka sejak Januari 2025, manakala tiga PBS masing-masing di Jengka 17, Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPTR) dan Sungai Jerik kini aktif dengan keanggotaan 20 orang setiap pasukan.
“Kesemua anggota PBS dilindungi insurans dan kita juga sedang menyasarkan penubuhan dua lagi Pasukan Bomba Komuniti serta sebuah PBS di Jengka 19 menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran Negeri Pahang 2025 yang dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar.
Dalam pada itu, pelaksanaan latihan pengukuhan sebanyak dua kali setahun turut dirancang bagi memastikan kesiapsiagaan Pasukan Bomba Komuniti sentiasa berada di tahap terbaik.
Selain itu, JBPM turut mengenal pasti keperluan penambahan pili bomba di lima lokasi strategik kawasan peneroka di Jengka sebagai langkah mitigasi risiko kebakaran.
Sementara itu, menyentuh mengenai cadangan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Pulau Tawar, Jerantut, Mohd Razam memaklumkan kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan meliputi aspek operasi, kepadatan penduduk dan risiko kebakaran.
“Sekiranya didapati perlu, JBPM akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.
Dalam perkembangan lain, pembinaan BBP Pulau Tioman dengan kos RM8 juta kini dalam proses awal termasuk kajian impak alam sekitar (EIA) selepas disahkan perlu oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Pahang. Tender dijangka dikeluarkan pertengahan 2026.
Menurut Dato’ Indera Nazri, Kerajaan Negeri menyambut baik usaha JBPM memperkukuh pengurusan kebakaran termasuk melalui pindaan Akta 341 dan pelaksanaan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) di premis-premis ditetapkan.
“Sebanyak 293 premis telah dikenal pasti tertakluk kepada Perakuan Bomba. Komitmen terhadap pematuhan ini penting bagi menjamin keselamatan rakyat dan kestabilan ekonomi negeri,” katanya.-SAHIH