Pentadbiran Cemerlang: Pahang Kukuh Ekonomi Tanpa Beban Rakyat
Pentadbiran Cemerlang: Pahang Kukuh Ekonomi Tanpa Beban Rakyat
KUALA LIPIS – Pentadbiran negeri yang cekap dan kerjasama berpasukan menjadi faktor utama kejayaan Pahang meningkatkan hasil negeri melebihi RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun tanpa membebankan rakyat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan itu bukan hasil usaha individu, sebaliknya gabungan tenaga semua pihak termasuk penjawat awam serta agensi kerajaan yang memahami misi pentadbiran negeri.
“Saya sangat bersyukur kepada Allah, dan berterima kasih kepada rakan-rakan sejawat serta agensi yang sentiasa memberi sokongan. Kita telah capai banyak kejayaan termasuk menaik taraf jalan-jalan kampung tradisional dan membina masjid baharu yang jauh lebih selesa,” katanya ketika ditemui media selepas Program FGV Seikhlas Hati: Majlis Sumbangan FGV bersama Menteri Besar Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah di Sungai Koyan, Lipis.
Hadir pada majlis sama ialah Pengerusi FGV Holdings Berhad (FGV) Tan Sri Rastam Mohd Isa.
Menurut beliau, kejayaan paling ketara adalah peningkatan kutipan hasil negeri yang melepasi RM1 bilion dalam masa tiga tahun, hasil pengurusan berhemah dan membendung ketirisan.
“Malah sehingga bulan Mei tahun ini sahaja, kita telah berjaya kutip lebih RM400 juta – ini satu petanda baik berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Tambah Wan Rosdy, pencapaian anak-anak syarikat milik kerajaan negeri yang kini menjana keuntungan turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi Pahang.
“Ini semua tidak mungkin dicapai tanpa semangat satu pasukan. Kami bekerja dalam suasana kekeluargaan dan faham tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.
Beliau yakin dengan semangat yang sama, lebih banyak pencapaian dapat diraih demi kesejahteraan rakyat Pahang.-SAHIH