“Hutan Plastik” di Cameron Highlands, Sultan Pahang Titah Noktahkan Pencerobohan Tanah
“Hutan Plastik” di Cameron Highlands, Sultan Pahang Titah Noktahkan Pencerobohan Tanah
RAUB – “Sedih hati beta apabila melihat dari udara, Lembah Bertam bukan lagi hutan semula jadi… tapi hutan plastik,” titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nada tegas dan kecewa terhadap isu pencerobohan tanah haram yang semakin berleluasa di daerah peranginan itu.
Baginda bertitah, keadaan di kawasan tanah tinggi itu tidak boleh dibiarkan terus rosak akibat aktiviti tidak sah yang bukan sahaja menjejaskan alam sekitar malah menggugat sistem pentadbiran tanah serta keadilan kepada pemohon yang sah.
“Kalau ini dibiarkan, seolah-olah kita tiada pihak berkuasa, tiada pejabat hutan, pejabat tanah dan pejabat Menteri Besar. Kita mesti noktahkan perkara ini. Percerobohan mesti dihentikan,” titah baginda.
Turut berangkat mencemar duli Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta exco kerajaan negeri, YB Fadzli Mohamad Kamal,
Baginda turut mengingatkan bahawa tindakan tegas, termasuk hukuman berat, akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil melakukan penerokaan tanpa kebenaran.
“Saya nak mengingatkan kepada mereka, kita ada undang-undang di negara ini. Jangan terkeliru dengan perjuangan palsu,” titah baginda lagi.
Mengulas lanjut, baginda menyeru semua pihak agar bekerjasama dan tidak mempolitikkan isu ini.
“Permohonan tanah mestilah dibuat secara rasmi mengikut saluran yang betul. Kita perlukan satu sistem urus tadbir yang adil dan teratur,” titah baginda.
Baginda juga menyifatkan situasi di Cameron Highlands “nasi telah menjadi bubur” dan mengesyorkan agar kerajaan mempertimbang pendekatan baharu untuk menangani masalah tersebut secara berperingkat dan berkesan.-SAHIH