46 individu terima darjah kebesaran sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang
46 individu terima darjah kebesaran sempena ulang tahun keputeraan Sultan Pahang
TEMERLOH – Sebanyak 46 individu terdiri daripada pelbagai latar belakang menerima darjah kebesaran dan pingat sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur bagi memperingati Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang Ke-65 (sesi keempat) yang berlangsung di Dewan Tun Razak di sini, hari ini.
Istiadat penuh istiadat itu disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Antara penerima utama, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Polis Dato’ Sri Muhammed Hasbullah Ali yang dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri.
Pengarah Pembinaan Sujaman Sdn Bhd, Dato’ Indera Lee Wah Lian pula menerima Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP), manakala Pengarah Maritime Survey And Service Sdn Bhd, Dato’ Suhaila Semaru menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP).
Seramai 23 individu turut menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ termasuk YM Tengku Dato’ Mohd Arifin Tengku A. Rahman dan Presiden Terengganu Incorporated, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed.
Selain itu, empat penerima dianugerahkan Setia Mahkota Pahang (SMP), dua menerima Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), tujuh menerima Ahli Mahkota Pahang (AMP), manakala empat individu menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) dan tiga dianugerahkan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT).
Istiadat penuh tradisi itu menyaksikan pengiktirafan kepada tokoh-tokoh pelbagai sektor termasuk ketenteraan, penguatkuasaan, perniagaan dan akademik atas jasa dan sumbangan cemerlang mereka kepada negeri dan negara.-SAHIH