Badan bertindak anjur Perhimpunan Aman Pesara Kerajaan – 31 Mei
Badan bertindak anjur Perhimpunan Aman Pesara Kerajaan – 31 Mei
JERANTUT – Badan Bertindak Bersama akan menganjurkan Perhimpunan Aman Pesara Kerajaan pada 31 Mei 2025 (Sabtu) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, sebagai tanda akur kepada keputusan mahkamah serta seruan untuk penyelesaian segera isu pelarasan pencen.
Menurut Pengerusi Badan Bertindak Bersama, Jamale Paiman, perhimpunan ini adalah satu langkah terhormat untuk menunjukkan kesungguhan para pesara dalam menuntut hak yang tertangguh serta menyokong penyelesaian secara harmoni bersama kerajaan.
“Mahkamah membenarkan penangguhan selama tiga bulan bermula 16 Januari 2025 berhubung pelaksanaan bayaran pelarasan pencen. Namun, kami berharap kerajaan dapat menyelesaikan isu ini sebelum September 2025.
“Badan ini yang mewakili 900,000 pesara kerajaan turut merancang mengadakan pertemuan rasmi dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk membincangkan secara langsung hal pelarasan tersebut,” katanya.
Jamale menegaskan bahawa Kumpulan Wang Amanah Pesara (KWAP), yang memiliki pelaburan sebanyak RM170 bilion, seharusnya mampu menampung keperluan bayaran pelarasan pencen yang dianggarkan RM1.7 bilion.
“Selain itu memohon agar kerajaan mengekalkan sistem lantikan tetap dan berpencen bagi penjawat awam seperti yang termaktub dalam Akta Pencen 1980, Peraturan Pencen 1980, dan Akta Penyelarasan Pencen 1980, yang masih sah dan berkuat kuasa,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Pembela Pejuang Malaysia (PPPM), Rafique Ali Ahmad Nordin, menyatakan bahawa hak berpencen adalah dilindungi oleh Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan, dan hanya boleh dihapuskan melalui pindaan perlembagaan.
“Jika hak berpencen termaktub dalam Perkara 147, maka ia mesti diteruskan kecuali dipinda melalui saluran sah. Ia bukan satu keistimewaan semata-mata, tetapi satu hak
“Surat Kelulusan dari pihak berwajid sudah diperolehi,” katanya.
Perhimpunan ini dijangka disertai oleh pelbagai badan pesara termasuk Persatuan Pesara Kerajaan, Persatuan Pesara Perkhidmatan Pendidikan, Persatuan Kelab KUPEKMAS, Pesara Angkatan Tentera dan Pesara Polis. -SAHIH.