Pakar Kecantikan Bertaraf Antarabangsa, Madam Natty Terus Menyinar
Pakar Kecantikan Bertaraf Antarabangsa, Madam Natty Terus Menyinar
KUALA LUMPUR – Nama Madam Natty mungkin sudah tidak asing dalam dunia kecantikan dan imej profesional tempatan. Figura dihormati ini bukan sahaja memiliki pengalaman lebih dua dekad, malah turut merangkul pelbagai anugerah atas sumbangannya dalam bidang tersebut.
Berpengalaman sejak tahun 1994 bersama Avon Cosmetics (M) Sdn. Bhd., wanita bernama penuh Noorlilinaty Mohd Noordin ini terus mengukir nama di peringkat lebih tinggi apabila menyandang jawatan sebagai Beauty Manager di Versace Malaysia dan kemudiannya sebagai Public Relations cum Training Manager di Hong Kong SASA.
Kini menerajui Ageless Haven Resources sebagai Lead Consultant/Principal, beliau bukan sahaja pakar dalam penjagaan kulit, solekan serta estetika kecantikan, tetapi turut menumpukan perhatian kepada etika makan, protokol, serta komunikasi profesional dan perkhidmatan pelanggan.
Berbekalkan ijazah dalam bidang aromaterapi serta pelbagai sijil profesional dalam solekan, rambut pengantin dan kecantikan, Madam Natty berjaya menggabungkan keanggunan luaran dengan penjenamaan diri yang mantap.
Keupayaan ini telah melayakkan beliau meraih Beauty Brilliance Top Star (Best Educator) dan BUMIPUTERA Business Excellence Award (Promising Business in Skincare Training).
Madam Natty terus aktif membimbing individu dan syarikat yang mahu memperkukuh imej profesional mereka, menjadikan beliau antara pakar imej dan perunding kecantikan paling berpengaruh di negara ini.
Terbaharu, pelantikan beliau sebagai Ahli Kehormat MTPN sekali gus mengiktiraf sumbangan dan komitmennya terhadap pembangunan imej masyarakat serta advokasi pengguna di peringkat nasional.-SAHIH