MTPN Jalin Kerjasama Strategik Bersama PUNB, Perkasa Usahawan Bumiputera
MTPN Jalin Kerjasama Strategik Bersama PUNB, Perkasa Usahawan Bumiputera
KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) terus mengorak langkah memperkasa komuniti usahawan tempatan apabila mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) baru-baru ini.
Kunjungan berkenaan diketuai Timbalan Presiden Kebangsaan MTPN, Tuan Noorman Kamsani, dan disambut mesra oleh wakil dari Entrepreneur Collaboration & Development Unit, PUNB, Tuan Muhammad Nafis Nirman.
Pertemuan itu menjadi medan perbincangan dua hala bagi meneroka potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak khususnya dalam penganjuran program pembangunan usahawan serta inisiatif memanfaatkan komuniti pengguna di seluruh negara.
Menurut MTPN, pihaknya menyambut baik peluang untuk menjalinkan kerjasama jangka panjang bersama PUNB yang telah lama dikenali sebagai agensi utama dalam pembangunan usahawan Bumiputera.
“Melalui pelbagai program dan inisiatif seperti pembiayaan perniagaan, PROSPER Hartanah, Program JumPER dan insentif khas lain yang ditawarkan PUNB, kita yakin lebih ramai usahawan tempatan dapat diperkasa secara menyeluruh,” kata Noorman.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Naib Presiden Kebangsaan MTPN I, Tuan Jericho Tang Kit Wai dan Naib Presiden Kebangsaan MTPN VI, Tuan Kit Yang Say Feng.
PUNB yang berperanan dalam menyokong pertumbuhan usahawan Bumiputera dilihat sebagai rakan strategik ideal dalam mendokong aspirasi MTPN yang mahu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Kunjungan itu turut mencerminkan komitmen MTPN dalam memperluaskan jaringan kerjasama demi manfaat pengguna dan peniaga di seluruh pelosok negara.-SAHIH