Koperasi Pahang Catat Peningkatan, Sasarkan Jualan RM1 Bilion Tahun Ini
Koperasi Pahang Catat Peningkatan, Sasarkan Jualan RM1 Bilion Tahun Ini
BENTONG – Koperasi di Negeri Pahang menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila semakin ramai berjaya tersenarai dalam kelompok terbaik di peringkat kebangsaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam.
Menurutnya, koperasi-koperasi dari Pahang kini berada dalam kelompok 300 koperasi terbaik negara, malah ada yang menembusi 100 koperasi terbaik, sekali gus membuktikan pertumbuhan sektor itu di negeri ini.
“Alhamdulillah, kita lihat prestasi koperasi semakin meningkat dan ini satu petanda positif untuk masa depan ekonomi negeri. Malah, koperasi Kodara berjaya menduduki tangga ke-18 di peringkat kebangsaan tahun lalu,” katanya pada Majlis Operasi Terbaik Negeri Pahang 2025 di sini, hari ini.
beliau ditemui media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik Negeri Pahang di Dewan Kompleks Penjara Bentong hari ini.
Turut hadir, Yang Berhormat Dato’ Amizar bin Abu Adam; Naib Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, YBhg. Puan Siti Azlin binti Ahmad Dauta; Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid bin Ismail; Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Pahang, YBhg. Tuan Ibrahim bin Husain.
Beliau berkata, walaupun jumlah jualan koperasi negeri mencatatkan sedikit penurunan pada 2023-2024 kepada RM979 juta berbanding sasaran RM1 bilion, pihaknya optimis sasaran tersebut dapat dicapai tahun ini.
“Antara faktor penyumbang kepada penurunan ini adalah kesan pemulihan pasca-COVID-19 serta cabaran ekonomi global,” ujarnya.
Dalam pada itu, Datuk Amizar berkata, kerajaan negeri kini sedang menilai semula status 30 daripada 125 koperasi tidak aktif bagi memberi peluang mereka diaktifkan kembali, berbanding tindakan membubarkan terus.
“Kita tak mahu mansuhkan mudah-mudah, sebab nak tubuhkan koperasi itu bukan satu proses yang cepat,” jelasnya.
Tambah beliau, koperasi di Pahang masih mempunyai ruang besar untuk diterokai, terutamanya dalam sektor pelancongan, farmaseutikal dan pembangunan hotel.
“Kita ada lebih 13 juta pelancong ke Pahang, namun koperasi belum lagi ambil peluang ini secara penuh. Ini ruang yang perlu dimanfaatkan segera,” katanya.-SAHIH