BERSATU SAMBUT BAIK KEPUTUSAN UMNO
BERSATU SAMBUT BAIK KEPUTUSAN UMNO
IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyambut baik pengumuman UMNO melaksanakan gencatan politik dan menyokong penuh kerajaan Perikatan Nasional.
Malah, kata Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, langkah itu patut dicontohi semua parti politik ketika kerajaan sedang berusaha untuk memutuskan penularan COVID-19.
TIMBALAN PRESIDEN BERSATU, AHMAD FAIZAL AZUMU
Beliau yakin, rakyat juga mahukan ahli politik, baik kerajaan mahupun pembangkang, bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan ekonomi, seterusnya membantu rakyat yang terkesan.
“Ini fokus yang saya kira semua pemimpin patut sambut baik dan saya harap tak ada lagi pemimpin-pemimpin yang mendakwa itu ini dan mengambil masa DYMM Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap (untuk tujuan) nak tubuh kerajaan dan sebagainya.
“Semua orang bagi sokongan kepada kerajaan sedia ada demi kebaikan rakyat dan apabila tiba masanya, saya percaya Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan kalau dibubarkan Parlimen dan sebagainya, berpolitiklah balik,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Perak ditemui selepas majlis penyampaian insentif kemenangan sukan hoki dan kriket di sini, hari ini.
Semalam Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan UMNO melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan.
PRESIDEN UMNO, AHMAD ZAHID HAMIDI
Menurutnya, parti itu juga dalam masa sama mengambil pendirian untuk mendukung kerajaan Perikatan Nasional dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara mendepani COVID-19 serta kegawatan ekonomi.