Rumah Musnah Terbakar, Tiga Cedera Melecur – 2 Kereta dan 10 Motosikal Hangus Dijilat Api
Rumah Musnah Terbakar, Tiga Cedera Melecur – 2 Kereta dan 10 Motosikal Hangus Dijilat Api
KUANTAN – Api marak terlalu cepat, hanya sempat menyelamatkan diri,
Itu situasi cemas yang dilalui penghuni sebuah rumah separuh kekal di Lorong Alor Akar 55 di sini malam tadi apabila kediaman yang turut dijadikan bengkel membaiki motosikal itu musnah 100 peratus dalam satu kejadian kebakaran.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.24 malam itu, tiga lelaki dewasa dilaporkan cedera akibat melecur pada beberapa bahagian badan. Mangsa telah diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital oleh ambulans St. John.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.24 malam dan jentera pertama tiba di lokasi pada jam 9.32 malam.
“Operasi diketuai oleh PBK I KUP Mohd Noridan Bin Yunus bersama kekuatan 12 anggota dari BBP Kuantan, dibantu oleh BBP Indera Mahkota dan BBP Taman Tas yang masing-masing menghantar lapan anggota serta jentera,” katanya.
Menurut beliau, rumah berkeluasan kira-kira 20 x 70 kaki itu turut menempatkan 10 buah motosikal yang kesemuanya musnah terbakar. Api juga telah memusnahkan dua buah kereta iaitu Honda Stream dan Perodua Kancil .
Pasukan bomba menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dan sumber air daripada pili bomba serta tangki jentera untuk memadamkan api. Api berjaya dikawal pada jam 9.55 malam.
Kerja-kerja overhaul masih dijalankan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada sisa bara yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Kes disiasat pihak bomba dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.-SAHIH