KEBAKARAN HUTAN DI KUANTAN MASUK HARI KE-11
KEBAKARAN HUTAN DI KUANTAN MASUK HARI KE-11
KUANTAN – Kebakaran hutan di Jalan Pintasan Kuantan–Sungai Ular, belakang MCKIP Gebeng, masih belum dapat dipadam sepenuhnya walaupun operasi sudah memasuki hari ke-11.
Setakat ini, kebakaran telah memusnahkan 130.3 hektar kawasan hutan, dengan 93.73 hektar berjaya dipadamkan. Namun, baki 36.57 hektar masih terbakar dan operasi pemadaman terus giat dijalankan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menggerakkan 70 anggota bersama 10 pegawai bagi mengawal api daripada terus merebak. Bantuan turut diterima daripada beberapa agensi strategik termasuk pekerja MCKIP.
Antara teknik pemadaman digunakan ialah ‘water bombing’ dengan pesawat khas, serangan langsung dan pembinaan batas api bagi menghalang kebakaran merebak. Operasi ini dibahagikan kepada tujuh sektor bagi memastikan api dapat dikawal dengan lebih efektif.
Keadaan cuaca panas dan angin kencang menyukarkan usaha pemadaman, namun pihak bomba optimis api dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa terdekat.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.-SAHIH