Semua Pihak Perlu Hormati Proses Undang-Undang – Sultan Pahang
Semua Pihak Perlu Hormati Proses Undang-Undang – Sultan Pahang
KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan atau retorik berhubung titah adendum.
Baginda bertitah, isu berkenaan berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan mempunyai integriti dalam menjalankan tugas mereka.
“Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik. Saya menyeru kepada semua supaya berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati, dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Majlis Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat yang berlangsung di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
Program yang bermula pada jam 7 malam itu dimulai dengan solat Maghrib, solat hajat, bacaan surah Yasin, doa selamat dan solat Isyak.
Terdahulu, pada Januari lalu, Majlis Kesultanan Pahang mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang membenarkan Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman penjara dalam tahanan rumah.
Surat bertarikh 4 Januari 2025 itu dihantar kepada anak sulung Datuk Seri Najib, Datuk Mohamad Nizar dan ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.
Titah Adendum berkenaan dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya dalam tahanan rumah, susulan kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.-SAHIH