Majlis Sanjungan Budi, Lambai Kasih Meriah di Jengka 24
Majlis Sanjungan Budi, Lambai Kasih Meriah di Jengka 24
JENGKA – Satu majlis penuh penghargaan, “Majlis Sanjungan Budi, Lambai Kasih,” telah diadakan di Dewan Mat Kilau Jengka 24 bagi meraikan perpisahan beberapa individu penting dalam komuniti setempat.
Majlis yang berlangsung pada malam Jumaat, 28 Februari itu dianjurkan bagi memberikan penghormatan kepada En. Abdul Jalil bin Abu Hassan, En. Nor Syahminizam bin Norhisyam Ooi, serta Pn. Wan Noor Hafiza bt Wan Ngah yang akan berpindah ke tempat baharu untuk meneruskan khidmat mereka.
Majlis tersebut dihadiri oleh Ketua Blok JKKR, GPW, MBFM, KAF, Masjid, serta penduduk sekitar yang ingin memberikan penghargaan terakhir kepada mereka yang diraikan. Suasana majlis yang bertemakan “Melayu Klasik” menambahkan lagi kemeriahan acara dengan kehadiran tetamu yang berpakaian tradisional.
Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud, turut menyampaikan permohonan maaf sekiranya terdapat kesilapan sepanjang bekerjasama serta mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang bakal berkhidmat di tempat baharu.
“Kami amat menghargai jasa dan sumbangan mereka selama ini. Semoga kejayaan sentiasa mengiringi perjalanan mereka selepas ini,” katanya.
Majlis tersebut diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata sebagai tanda kenangan dan penghargaan daripada komuniti Jengka 24 kepada mereka yang diraikan.
Hadirin turut berpeluang menikmati jamuan makan malam yang disediakan sebagai sebahagian daripada acara perpisahan.
Majlis seperti ini menunjukkan semangat kekeluargaan dan keakraban dalam kalangan komuniti Jengka 24 yang sentiasa menghargai sumbangan setiap ahlinya.-SAHIH