OUM Perkukuh Tanggungjawab Sosial, Bantu Pendidikan Orang Asli SK Lanai
OUM Perkukuh Tanggungjawab Sosial, Bantu Pendidikan Orang Asli SK Lanai
LIPIS, – Universiti Terbuka Malaysia (OUM) terus memperkukuh peranan dalam pembangunan masyarakat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menganjurkan Program Jiwa Komuniti Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Lanai, dekat sini.
Program ini memberi manfaat khusus kepada komuniti Orang Asli, terutama dalam bidang pendidikan dan kesejahteraan sosial, seiring dengan matlamat OUM untuk memastikan golongan luar bandar tidak tercicir dalam arus pembangunan negara.
Presiden merangkap Naib Canselor OUM, Prof. Dr. Ahmad Izanee Awang, berkata inisiatif ini menzahirkan komitmen universiti dalam mendekati komuniti pedalaman serta memupuk kesedaran pendidikan dalam kalangan pelajar Orang Asli.
“Fokus utama program ini adalah untuk memberi motivasi kepada murid-murid SK Lanai agar terus menimba ilmu serta menyediakan keperluan asas seperti alat tulis, buku dan pakaian sekolah bagi meringankan beban keluarga mereka,” katanya selepas program itu.
Selain bantuan material, program CSR ini turut merangkumi sesi bimbingan akademik yang dikendalikan oleh pensyarah dan pelajar OUM, bertujuan membantu murid memahami pelajaran dengan lebih baik serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan.
Batin Kampung Pantos, Zamri Abdullah, menyifatkan inisiatif OUM ini sebagai satu usaha bermakna yang bukan sahaja meringankan beban keluarga, malah mengeratkan hubungan antara masyarakat luar dengan komuniti Orang Asli.
Guru Besar SK Lanai, Rosman Salleh, pula menegaskan bahawa usaha berterusan OUM dalam menyokong pendidikan di kawasan pedalaman membuahkan hasil, dengan pencapaian cemerlang sekolah dalam bidang akademik dan kokurikulum.
Menurutnya, kejayaan sekolah tahun lalu, termasuk peningkatan kadar kehadiran tertinggi, penguasaan 3M yang memberangsangkan, serta pencapaian dalam sukan dan kokurikulum di peringkat daerah dan negeri, membuktikan impak positif program seperti ini terhadap masyarakat setempat.
TAMAT