FELCRA Perkukuh Keterjaminan Makanan Negara dengan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging Terbesar
FELCRA Perkukuh Keterjaminan Makanan Negara dengan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging Terbesar
ROMPIN– Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memuji kejayaan FELCRA Berhad dalam membangunkan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging Secara Sistem Tertutup di Tanjung Seratus, Rompin.
Projek ini dijangka meningkatkan pengeluaran domestik sekaligus memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Menurut beliau, kompleks berskala besar ini akan menjadi projek perintis kepada lebih banyak ladang ternakan ayam luar bandar, membuka peluang ekonomi baharu serta meningkatkan taraf hidup komuniti setempat.
“Saya yakin kejayaan ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia. FELCRA telah membuktikan komitmennya dalam sektor penternakan dengan memperkenalkan sistem yang lestari dan bersih, tanpa bau kurang menyenangkan serta bebas lalat,” katanya selepas melawat kompleks berkenaan.
Kompleks ternakan ini juga mengaplikasikan pengurusan sisa teratur serta penggunaan sumber secara bijak, memastikan keseimbangan ekosistem terpelihara. Langkah ini selari dengan objektif pembangunan mampan serta misi FELCRA dalam menjamin kelangsungan bekalan makanan negara.
Mengimbau kejayaan FELCRA sebelum ini dalam membangunkan Loji Janakuasa Biogas terbesar di Jerantut, Pahang, serta pengeluaran pelbagai produk makanan seperti minyak masak dan beras, Dr Ahmad Zahid menegaskan bahawa agensi itu terus melangkah maju ke hadapan.
“Langkah FELCRA ini tepat pada masanya. Ia bukan sahaja menstabilkan bekalan makanan negara, malah membantu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar dan mengurangkan jurang pembangunan bandar-luar bandar,” ujarnya.
Beliau turut menyokong cadangan FELCRA dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk menubuhkan Pusat Pemprosesan Minyak Masak di Bidor, menaik taraf pusat benih padi, serta membina kilang pengampitan beras di Seberang Perak.
Projek ini membuktikan keupayaan FELCRA sebagai peneraju dalam pembangunan luar bandar, dengan menerapkan teknologi moden seperti automasi dan pemantauan digital bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti.
“Saya percaya, manfaat projek ini bukan sahaja untuk peserta FELCRA, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia melalui bekalan makanan yang lebih stabil dan berpatutan,” tambahnya.
Dengan kejayaan ini, FELCRA terus mengorak langkah sebagai pelopor dalam industri pertanian dan penternakan, memperkukuh kedudukannya dalam agenda keterjaminan makanan negara.-SAHIH