KEMALANGAN MAUT: PEMANDU LORI MAUT DALAM PERLANGGARAN DI KM 26 JALAN JERANTUT-TEMERLOH
KEMALANGAN MAUT: PEMANDU LORI MAUT DALAM PERLANGGARAN DI KM 26 JALAN JERANTUT-TEMERLOH
TEMERLOH – Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori lain dalam kemalangan di Kilometer 26, Jalan Jerantut-Temerloh petang tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh , Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata kemalangan berlaku sekitar jam 4.30 petang ketika kedua-dua lori dalam perjalanan dari Jerantut menuju ke Temerloh.
“Siasatan awal mendapati lori jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki India berusia 38 tahun telah memberi isyarat untuk membelok ke simpang kanan. Namun, lori Gardenia Bakeries (KL) yang dipandu mangsa gagal dikawal lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut,” katanya.
Akibat perlanggaran itu, pemandu lori Gardenia, seorang lelaki Melayu berusia 38 tahun yang berasal dari Taman Temerloh Jaya, tersepit di dalam kenderaannya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan mayatnya dihantar ke hospital untuk bedah siasat,” kata Mazlan.
Pemandu lori Isuzu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketika kejadian adalah jalan lurus dan berturap dengan cuaca cerah. Laluan tersebut merupakan jalan dua lorong dua hala dengan garisan putus-putus sebagai pembahagi jalan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian ketika memandu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-SAHIH