Tengku Hassanal Sahut Cabaran Mara Lasak 2025 di Ulu Dong
Tengku Hassanal Sahut Cabaran Mara Lasak 2025 di Ulu Dong
RAUB – Bukit bukau didaki, denai berhutan diterjah, sungai deras diredah! Itulah cabaran getir yang menanti 570 peserta dalam Cabaran Mara Lasak Pahang 2025 yang pertama kali dianjurkan di Ulu Dong, di Raub, Pahang.
Lebih mengujakan, acara ini turut diserikan dengan kehadiran Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang bukan sahaja menyempurnakan perasmian malah turut sama menyahut cabaran dengan berlari sejauh 10 kilometer bersama rakyat jelata.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, program ini bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dan mencabar, terutama dalam kalangan belia.
“Laluan yang perlu ditempuhi bukan calang-calang, penuh dengan rintangan yang menguji ketahanan fizikal dan mental. Namun, Tengku Mahkota Pahang berjaya membuktikan ketangkasan baginda dengan menamatkan larian dengan cemerlang,” katanya kepada pemberita.
Acara yang bermula jam 8.40 pagi itu melibatkan tiga kategori iaitu VIP, Agensi Kerajaan dan Kampung, dengan setiap pasukan terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita. Laluan mencabar ini turut menampilkan enam pusat pemeriksaan yang wajib dilalui sebelum peserta menamatkan larian.
Bagi menambah rintangan, setiap peserta diwajibkan membawa beg seberat lima kilogram sepanjang perlumbaan. Dengan hadiah keseluruhan bernilai RM18,000, cabaran ini benar-benar menguji ketahanan peserta!
“Walaupun laluan amat sukar, masih ramai peserta berjaya menamatkan cabaran, termasuk seorang veteran tentera berusia lebih 60 tahun yang begitu bersemangat menyertai kategori VIP,” tambah Fadzli.
Berikutan sambutan luar biasa, penganjur merancang untuk memperluaskan acara ini pada masa akan datang bagi memberi peluang kepada lebih ramai penyertaan, termasuk dari luar Pahang.
“Pada awalnya, hanya 50 pasukan dibuka tetapi akhirnya kami menerima 57 pasukan. Banyak lagi permintaan dari luar negeri yang terpaksa ditolak. Jika ada edisi lebih besar nanti, kami akan mempertimbangkan penyertaan mereka,” katanya.
Cabaran Mara Lasak Pahang 2025 bukan sekadar perlumbaan biasa, tetapi satu ujian kecekalan, keberanian dan semangat juang luar biasa SAHIH