80 sukarelawan ambil masa 6 jam keluarkan satu tan sampah dari rumah warga emas
80 sukarelawan ambil masa 6 jam keluarkan 1 tan sampah dari rumah warga emas
JERANTUT: Hampir enam jam diambil untuk membersihkan dan mengeluarkan kira-kira satu tan sampah dari rumah dihuni seorang wanita warga emas di Taman Koperasi, dekat sini.
Kerja-kerja pembersihan diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Lantikan, Haris Salleh Hamzah, bagi membantu membersihkan kediaman Halimah Mat Arop, 75, yang tidak terurus sejak beberapa tahun lalu.
Seramai 80 sukarelawan bukan sahaja mengeluarkan barangan lama di rumah terbabit, malah membasuh dan membersihkan rumah dan juga sekitar kawasan rumah yang dipenuhi semak samun.
80 sukarelawan ambil masa 6 jam keluarkan satu tan sampah dari rumah warga emas
Menurut Haris Salleh, beliau sedih dengan nasib Halimah yang tidak mampu mengurus rumahnya kerana sudah berusia.
Katanya, suasana rumah sangat teruk sehingga sukar untuk melangkah masuk kerana dipenuhi timbunan pelbagai barangan yang boleh dianggap sampah.
“Rumahnya tidak terurus, pelbagai barangan di biarkan begitu sahaja sehingga kita tidak boleh berjalan di dalam rumah menyebabkan dia terpaksa tidur di beranda rumah yang ditutup dengan selimut sebagai tabir.
“Kawasan rumahnya juga berbau busuk kerana dia memelihara banyak kucing yang membuang najis merata. Dia memberi alasan tidak mampu mengurus rumah kerana sudah berusia dan terpaksa bekerja di kawasan Pasar Tani Jerantut, ” katanya.
Kerja-kerja pembersihan membabitkan pelbagai agensi SWCorp, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Daerah Jerantut (MDJ) dan Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut.
Menurutnya, Halimah turut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 2021.
Sementara itu Halimah berkata dia tak larat membersihkan rumah kerana sudah tua dan mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang membantu membersihkan rumahnya .
Sumber : Berita Harian