Agrobank tawar moratorium pelanggan terjejas banjir
Agrobank tawar moratorium pelanggan terjejas banjir
KUALA LUMPUR – Agrobank mengumumkan tawaran moratorium sehingga enam bulan serta penggantian buku akaun dan kad debit secara percuma khusus untuk pelanggan-pelanggan bank yang terjejas banjir.
Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya memahami kesukaran pelanggan-pelanggan yang terkesan akibat banjir baru-baru ini khususnya di Terengganu dan Kelantan.
“Agrobank merangka pelan-pelan khusus untuk meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir dan diharapkan bantuan pembayaran ini dapat memberikan sokongan yang diperlukan dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini.
“Saya dimaklumkan ada di antara pelanggan kami yang mengalami kerosakan harta benda, ladang dan kegiatan pertanian mereka, kejadian ini secara tidak langsung memberi kesan kepada sumber pendapatan dan kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.
Katanya, ada pelanggan memerlukan penangguhan dalam melaksanakan tanggungjawab kewangan mereka untuk memulihkan semula perniagaan.
“Pelanggan yang terjejas dan layak , boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan bagi membina semula perniagaan masing-masing.
“Kami di Agrobank juga akan turut menghubungi para pelanggan kami bagi membantu mereka menghadapi situasi ini,” katanya.
Katanya, untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank, sila hubungi pusat perkhidmatan pelanggan Agrobank di 1300-88-2476 atau boleh memohon di laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau berkunjung ke mana-mana cawangan Agrobank berdekatan.-SAHIH.