Air Sungai Tembeling mula melimpah di dataran Kampung Bantal, Ulu Tembeling
Foto : Air Sungai Tembeling mula melimpah ke dataran Kampung Bantal, Ulu Tembeling, petang ini.
Air Sungai Tembeling mula melimpah di dataran Kampung Bantal, Ulu Tembeling
JERANTUT – Air Sungai Tembeling mula melimpah di dataran Kampung Bantal, Ulu Tembeling pada jam 5.45 petang hari ini.
Turut tenggelam laluan jalan simen dari Kampung Sepia ke Kampung Bantal termasuk di sekitar dataran perniagaan menyebabkan penduduk kedua kampung menggunakan bot ke rumah jiran dan sebagainya.
Namun tidak ada lagi pemindahan mangsa kerana kediaman penduduk terletak di kawasan tinggi berdekatan dataran itu, manakala bagi mereka yang tinggal di pesisir sungai itu selamat kerana kediaman itu dipasang tong pelampung dan ditambat dengan tali besi pada pokok besar.
Portal Laman Web Rasmi Public Infos Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencatatkan paras air pada 101.16 meter menghampiri paras amaran, iaitu 104 meter.
Penduduk Kampung Bantal dan Kampung Sepia di Ulu Tembeling setiap tahun akan berdepan dengan bencana tersebut kerana hujan lebat di kawasan ulu lagipun faktor peningkatan paras air Sungai Dungun, Terengganu yang bersempadankan Ulu Tembeling daerah ini juga dikira faktor air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia naik dengan pantas.
Penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid berkata, air Sungai Tembeling mula melimpah masuk ke dataran perniagaan ini kira-kira pada pukul 4 petang hari ini kerana hujan lebat turun sejak kelmarin di kawasan ulu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia.
“Perkara ini sudah menjadi biasa bagi penduduk di pesisir sungai ini khususnya di Kampung Bantal dan Kampung Sepia dan sudah menjangkakan air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia akan naik setiap kali penghujung tahun ketika Monsun Timur Laut.
“Kita sudah mengambil sikap berjaga-jaga kemungkinan air akan naik ke paras bahaya sekiranya hujan masih turun lebat di kawasan ulu sungai,” katanya di Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini hari ini. -SAHIH.