Kempen Jom Sihat bersama KRT
Kempen Jom Sihat bersama KRT
KEMPEN Jom Sihat Sepanjang Hayat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antara lain adalah usaha meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai penyakit yang berkaitan dengan gaya hidup tidak sihat.
Kempen berkenaan penduduk di komuniti terbabit berpeluang membuat saringan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tidak menghidap penyakit berbahaya di samping itu untuk menggalakkan mereka mengamalkan amalan dan cara hidup mempromosi kesihatan.
Sehubungan itu, Pusat Wanita Berdaya (PWB) Dewan Undangan Negeri (DUN) N24 Semenyih dan Klinik Kesihatan Semenyih menganjurkan program ‘Jom Sihat Sepanjang Hayat’ Senamrobik dan Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Taman Sri Tanjung, Semenyih, baru-baru ini.
Program dianjurkan bersama Panel Penasihat Klinik Kesihatanj Semenyih itu mendapat kerjasama Komuniti Madani Semenyih Sentosa, KRT Pekan Semenyih dan KRT Taman Sri Tanjung, Semenyih.
Pengerusi KRT Taman Sri Tanjung, Semenyih yang ditemui, Karim Rabu, berkata program julung kali itu diadakan untuk menarik perhatian serta tumpuan lebih 200 penduduk di taman berkenaan dan sekitarnya apabila datang awal pagi untuk melakukan saringan kesihatan.
Menurutnya, ini secara tidak langsung menunjukkan penduduk makin sedar akan kepentingan melakukan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka benar-benar sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya.
Tambahnya, bagi gerakan KRT sentiasa mengambil berat kehidupan serta kesejahteraan penduduk dan memberi galakan untuk mereka mengambil inisiatif melakukan pemeriksaan kesihatan apatah lagi apabila ia diadakan secara percuma berbanding bayaran yang dikenakan sesetengah hospital atau klinik swasta.
“Di samping pemeriksaan kesihatan penduduk diberikan penerangan atau kaunseling ringkas mengenai langkah menjaga kesihatan, pemilihan makanan sihat, cara pemakanan ubat yang betul dan sebagainya untuk mengelak melakukan kesilapan,” ujarnya.
Katanya, selain itu turut diadakan pemeriksaan untuk wanita iaitu pap smear/HPV, klinikal payu dara, pemeriksaan kanak-kanak, teknik urutan, mengawal stres, ceramah kesihatan, kuiz dan pameran berkaitan kesihatan.
Program yang turut mendapat kerjasama serta sokongan Jawatankuasa Kejiranan KRT taman berkenaan turut mengadakan pertandingan gubahan bunga, membuat pulut hiasan dan mewarna membabitkan kanak-kanak berusia antara empat tahun dan lima tahun. -SAHIH.