LAGI KAKITANGAN PENJARA POSITIF COVID-19
Berita Nasional
LAGI KAKITANGAN PENJARA POSITIF COVID-19
NIBONG TEBAL: Seorang lagi kakitangan Penjara Seberang Perai disahkan positif COVID-19 menjadikan tiga kes membabitkan kakitangan penjara itu yang dijangkiti wabak berkenaan setakat ini.
Pengarah Penjara Seberang Perai, Zulkifli Abdul Manah, berkata kakitangan berkenaan tidak bergejala dan disahkan positif COVID-19 pada Isnin lalu.
“Dia kini menjalani rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Ahli keluarga serta semua kontak rapat kakitangan itu juga sudah menjalani ujian saringan dan masih menunggu keputusan,” katanya di sini, hari ini.
Sehingga kini, Kluster Penjara Seberang Perai merekodkan 86 kes.
Semalam, Kerajaan Pulau Pinang mengemukakan cadangan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Seberang Perai untuk mengekang penularan COVID-19.
Sementara itu, Zulkifli berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan peralatan pakaian perlindungan diri (PPE) daripada individu prihatin untuk kakitangan penjara yang semakin menyusut ekoran ia perlu digunakan setiap hari bagi berurusan dengan banduan.
“Setakat ini, stok simpanan PPE di Penjara Seberang Perai mampu bertahan untuk tempoh dua minggu lagi.
“Sebelum ini kita antara penjara yang hasilkan set lengkap PPE namun pada masa ini terpaksa hentikan pengeluaran PPE ekoran terdapat kes COVID-19 di sini,” katanya.
Jelasnya, Penjara Seberang Perai juga dijangka menerima bantuan PPE dari ibu pejabat dalam tempoh terdekat.
Sumber: BH Online