Menjelang 2030, rakyat Malaysia berusia lebih 60 tahun
Foto : Kakitangan dan pelatih Cality Care Malaysia Sdn Bhd melakukan aktiviti senaman ringan bersama-sama warga emas dalam membantu memulihkan kecergasan.
Menjelang 2030 lebih 15.3 peratus daripada populasi di negara ini yang akan lebih berusia 60 tahun dengan corak kesihatan yang baik dan rakyat Malaysia dijangka hidup lebih lama.
Penduduk yang semakin menua menunjukkan peningkatan dalam kelaziman keadaan kesihatan kronik seperti demensia, strok, penyakit jantung dan kanser. Keadaan itu memerlukan jumlah sumber penjagaan yang besar.
Majoriti warga emas Malaysia melaporkan bahawa mereka mahu kekal di rumah mereka sendiri. Secara tradisinya, menjaga orang tua kita dianggap sebagai tugas ahli keluarga, namun pada zaman ini, pandangan itu sudah berubah.
Ramai warga emas ingin mengekalkan kemerdekaan mereka lebih lama dan ramai ahli keluarga difahamkan tidak berpengalaman untuk menjalankan tanggungjawab penjagaan bagi keadaan seperti demensia. Oleh itu, terdapat keperluan semasa dan masa depan untuk penjaga terlatih secara profesional.
Hizlan Hasanuddin dan Zul Mawardi (belakang, tengah) bersama-sama sebahagian 25 pelatih yang menamatkan latihan program penjagaan warga emas.
Ketua Pegawai Integriti, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad), Zulkifli Mawardi (Zul Mawardi), berkata KPS Berhad melihat perkara itu sebagai satu peluang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan meningkatkan kesediaan negara ke arah menyokong dan melindungi penduduk yang semakin menua di Malaysia.
Katanya, sebagai menyempurnakan peluang itu pada 2019, KPS Berhad mula memperkenal inisiatif KPS ‘Caregiver Program’ (Program Pengasuh KPS) dan peserta program berkenaan dipilih dengan teliti daripada dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah dan asnaf.
Tambahnya, secara ringkasnya objektif program inisiatif itu adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan warga emas dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya generasi muda dan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan asnaf untuk mendapatkan latihan teori serta praktikal tahap piawaian penjagaan Australia Cality Care.
“Ia juga bagi menyediakan peluang kerjaya kepada golongan berpendapatan rendah dan asnaf untuk bekerja dalam sektor penjagaan warga emas dengan melaksanakan program pengambilan pekerja mampan yang sesuai dengan falsafah tanggungjawab sosial korporat (CSR) KPS Berhad.
“KPS ‘Caregiver Programme’ ini juga untuk meningkatkan taraf ekonomi sosial belia Selangor yang menganggur dan menawarkan pengalaman menimba ilmu yang unik dalam industri,” ujarnya ketika kepada pemberita pada Majlis ‘Social Investment KPS Caregiver Initiatives 2024 di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 8 Ogos lalu.
Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Penjagaan Cality Care Malaysia Sdn Bhd, Hizlan Hasanuddin; Pengurus Operasi Cality Care Malaysia Sdn Bhd, Azlan Abdullah; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Pengurus serta Setiausaha PJMM, Sadali Mohiden; dan Muhammad Syafiq Mohiadin.
Pada majlis itu turut diadakan penyampaian sijil kepada 25 pelatih yang menamatkan latihan program penjagaan warga emas, serta menjalankan aktiviti melukis poster serta senaman ringan bersama-sama warga emas, dan penyerahan sumbangan barangan asas keperluan harian kepada PJMM.
Zul Mawardi berkata, KPS Caregiver Program ialah skim perintis yang mewujudkan peluang kepada peserta daripada golongan berpendapatan rendah dan asnaf untuk berjaya memperoleh pekerjaan serta peluang perniagaan yang bermakna sebagai pengasuh dalam industri penjagaan warga emas.
Jelas beliau, peserta program itu dipilih dengan teliti daripada golongan berpendapatan rendah serta asnaf dan dalam tempoh lima tahun sejak 2019, seramai 245 peserta berjaya menamatkan latihan dan menerima pensijilan dalam penjagaan warga emas.
Setakat ini, 80 peratus daripada jumlah peserta program berkenaan mampu menjana pendapatan melebihi RM1,500 sebulan sebagai pengasuh bebas.
Tambahnya, mengenai komponen di bawah modul latihan inisiatif program berkenaan, adalah berdasarkan Australia’s Certificate III in Individual Support (Ageing).
“Latihan ini dikendalikan sepenuhnya oleh Cality Care Malaysia selama lapan bulan secara keseluruhan yang merangkumi teori serta penjagaan praktikal dengan pelanggan sebenar,” ujarnya.
“Berdasarkan pengalaman KPS Berhad dalam menjayakan inisiatif pelaburan sosial, KPS Caregiver Program merupakan antara inisiatif disambut baik dalam kalangan golongan sasaran dan jelas memberi impak Social Return on Investment (“SROI”) yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Hizlan berkata, dalam tempoh lima tahun itu, Cality Care Malaysia Berhad begitu komited menjayakan program berkenaan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab bagi membantu golongan B40 dan asnaf yang mendapat bantuan zakat meningkatkan taraf ekonomi dan hidup.
Menurutnya, dengan dana yang disediakan KPS Berhad, Cality Care Malaysia Berhad sentiasa meningkatkan usaha serta pembaharuan dalam latihan yang diberikan pelatih supaya mampu menjadi tenaga mahir dalam penjagaan warga emas.
“Mereka juga akan bertindak sebagai pemudah cara dengan menjadi tempat rujukan warga emas yang memerlukan penjagaan atau bimbingan bagi meneruskan kehidupan seharian untuk mengelak terabai tanpa pengurusan yang betul.
“Dalam perkara sedemikian pelatih yang berada di lapangan juga memerlukan kerjasama serta sokongan masyarakat setempat untuk menjayakan misi penjagaan atau pengurusan warga emas supaya dapat disantuni dengan sebaik mungkin,” katanya. – SAHIH.