Petunjuk awal lelaki OKU hilang yang masih gagal ditemui setelah rantai manik ditemui pada hari ke-6
Foto : Adik mangsa, Fauziah Mat (48), menunjukkan rantai manik yang sering digunakan oleh Rosdan Mat ditemui semalam.
Petunjuk awal lelaki OKU hilang yang masih gagal ditemui setelah rantai manik ditemui pada hari ke-6
LIPIS – Seutas rantai manik yang sering digunakan oleh seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU), Rosdan Mat, berusia 52 tahun dijumpai pada hari keenam kehilangannya oleh kumpulan pencari di sekitar Kampung Redan, Lipis.
Abang ipar kepada lelaki hilang itu, Adnan Mat Isa (52) berkata, manik itu ditemui ketika operasi mencari di di sekitar jalan masuk ke kebun yang terletak berdekatan rumahnya.
“Saya percaya rantai manik itu sering digunakan oleh Rosdan Mat (lelaki hilang itu) untuk diikat pada kayu dan kononnya sebagai ” tali sandang senapang”.
“Penemuan rantai manik itu menjadikan petanda terbaharu dalam usaha mencari mangsa yang masuk hari ketujuh hari ini,” ketika ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTP) di sini.
Katanya, dia berterima kasih kepada semua agensi kerajaan keselamatan serta penduduk tempatan serta masyarakat orang asli Kampung Temetung yang turut memberi bantuan mencari.
Adnan Mat Isa, 52 tahun (kiri) dan adik mangsa, Fauziah Mat (48) (kanan)
Adik mangsa, Fauziah Mat (48) berkata, kali terakhir abangnya datang ke rumahnya untuk bersarapan kira-kira jam 8.30 pagi pada 26 Jun.
“Semasa suami saya memanggilnya untuk makan tengah hari pada hari yang sama, abang masih tiada di rumah.
“Pada waktu malam, sekali lagi suami saya memanggil abang saya untuk makan malam, abang masih tiada di rumah,” katanya.
Katanya, sudah menjadi lumrah abang kerap merayau dan singgah di rumah adik beradik atau saudara-mara yang tinggal berdekatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, pihak polis menerima laporan daripada adik ipar dan pengadu kepada lelaki yang hilang itu pada jam 9.39 pagi pada 28 Jun setelah usaha awal mencari gagal.
“Sebelum laporan polis dibuat, pengadu bersama saudara-mara dan orang kampung telah mencari abang iparnya di tempat selalu orang hilang (OH) itu pergi serta di sekitar kampung tersebut tetapi gagal dan tidak menjumpai sebarang petunjuk sehingga laporan polis dibuat.
“Pihak polis bersama penduduk kampung terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sekitar kawasan dipercayai hilang dan masih gagal ditemui. Operasi masih diteruskan,” katanya di sini.
Ismail berkata dimaklumkan Rosdan telah mengalami masalah kesihatan mental sejak berumur 14 tahun.
“Pencarian hari ketujuh ini, pencarian disertai 75 orang daripada polis, Bomba dan penyelamat, Angkatan Petahanan Awam, orang kampung dan masyarakat orang asli dari Kampung Temetong.
“Usaha mencari turut menggunakan khidmat anjing pengesan bomba (K9),” katanya.-SAHIH.