Program Madani Rakyat medan dekati komuniti
Program Madani Rakyat medan dekati komuniti
KUANTAN – Penganjuran Program Madani Rakyat di Dataran MBK hujung minggu depan membuka peluang kepada masyarakat memahami aspirasi Kerajaan Perpaduan.
Melalui program itu, semua agensi kerajaan dapat memberi penerangan dan penjelasan secara terus kepada pengunjung.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, program itu juga perlu dimanfaatkan pengunjung untuk mendapat maklumat berkaitan perkhidmatan disediakan kepada mereka.
“Pelbagai aktiviti bakal dijalankan dalam program ini antaranya pameran, latihan, persembahan, pertandingan dan juga ceramah agama yang sudah tentu dapat impak kepada pengunjung.
“Selain itu, pengunjung terutamanya generasi muda dapat mencari peluang pekerjaan dan perniagaan ditawarkan institusi pengajian tinggi, kolej vokasional dan bermacam lagi,” katanya ketika menjadi tetamu Pahang FM di Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad Shah.
Amizar diberi tanggungjawab oleh kerajaan Pahang mempromosikan Program Madani Rakyat bagi Wilayah Timur.
Dia turut memaklumkan semua maklumat lanjut berkaitan program berkenaan boleh diperoleh pengunjung dengan melayari laman web www.malaysiamadani.gov.my dan www.kerajaanpahang.gov.my. – SAHIH