Meneroka semula kegemilangan FELDA
Meneroka semula kegemilangan FELDA
KUALA LUMPUR – Era kegemilangan FELDA perlu dikembalikan semula bagi meningkatkan semangat generasi baru tanah rancangan itu.
Pernah menjadi contoh dan rujukan satu ketika dulu, FELDA perlu diletakkan pada asas yang kukuh dan disegani.
Menyedari kepentingan FELDA dalam membentuk generasi lebih berdaya saing, satu pertemuan tidak rasmi diadakan membabitkan tokoh pemimpin dari tanah rancangan itu.
Pertemuan yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini menyaksikan proses percambahan fikiran dilakukan demi kepentingan warga peneroka.
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam antara yang menyertai pertemuan tidak rasmi itu.
Selain Amizar, turut serta adalah Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Anuar Manap dan Naib Presiden Kami Anak FELDA, Mohd Syahbuddin Hashim.
“Kami semua anak FELDA yang inginkan FELDA yang terbaik dari masa ke semasa.
“Insya ALLAH kita berdoa dan berusaha demi FELDA yang disayangi dan dicintai,” kata Amizar dalam satu hantaran di Facebook.
Dia yang juga ADUN Pelangai mengakui satu gerak kerja lebih teliti dan sistematik adalah kemestian dalam mengangkat semula jenama FELDA.
Sebelum ini, FELDA pernah menjadi antara program pembangunan penduduk paling berjaya dengan tagline ‘FELDA Hanya Satu Di Dunia’ hingga menarik perhatian pengusaha kelapa sawit dari negara luar. – SAHIH