Sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang bakal ditubuhkan
Sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang bakal ditubuhkan
JENGKA – Satu mesyuarat akan diadakan bagi menjayakan penubuhan Sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang tidak lama lagi.
Sekretariat itu akan menggabungkan data sedia ada dimiliki Majlis Belia FELDA (MBF) Pahang dan badan bukan kerajaan (NGO) Kami Anak FELDA (KAF).
Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, penubuhan sekretariat itu bertujuan bagi mengumpul semua anak FELDA Pahang yang berada di luar negeri ini.
“Kalau ikutkan data yang ada dengan KAF dan MBF, jumlahnya lebih 40,000 dan kalau semua kita boleh kumpulkan, sudah pasti ia akan memudahkan proses penyaluran maklumat berkaitan inisiatif disediakan kerajaan Pahang untuk mereka.
“Macam KAF sendiri yang mensasarkan jumlah 100,000 ahli… kalau sekretariat Perantau Anak FELDA Pahang pun boleh mengumpul jumlah sama, itu sudah cukup baik,” katanya ketika ditemui selepas Karnival Segalanya FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, dekat Jengka, hari ini.
Karnival itu dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Pada majlis itu, Wan Rosdy mengumumkan pemberian geran RM20,000 kepada JKKR, GPW, MBF dan KAF bagi tujuan pengurusan.
Mengulas mengenai pemberian geran pengurusan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan, Gerakan Peneroka Wanita (GPW), KAF dan MBF oleh kerajaan Pahang, Amizar berkata, ia adalah bukti jelas keprihatinan Wan Rosdy kepada warga peneroka.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Wan Rosdy dan ini menunjukkan kepercayaan Datuk Seri kepada kita (warga peneroka FELDA).
“Jadi, kita harap semua inisiatif dan insentif diberikan kepada semua warga peneroka FELDA dapat memberi manfaat dan membantu meningkatkan sosio-ekonomi setempat,” katanya. – SAHIH