Felcra hasil kuasa elektrik 5.5 megawatt biogas di Jerantut
Felcra hasil kuasa elektrik 5.5 megawatt biogas di Jerantut
JERANTUT – Felcra Berhad membangunkan projek kilang biogas bagi meningkatkan kapasiti Renewable Energy (RE) atau tenaga boleh diperbaharui berasaskan sawit di bawah pengurusan Felcra Jayaputra Sendirian berhad, di Jayaputra dekat sini, semalam.
Pengerusi Felcra Berhad, Ahmad Jazlan Yaakub berkata, projek biogas boleh menghasilkan kuasa elektrik sebanyak 5.5 megawat (MW) yang boleh memberi sumbangan yang bermakna dalam meningkatkan kualiti hidup kira-kira 300,000 penduduk luar bandar khasnya di Pahang ini ada;ah terbesar di Malaysia.
“Bekalan elektrik berasaskan biogas ini membolehkan perusahaan dan perniagaan di luar bandar beroperasi dengan lebih cekap sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi tempatan, mendorong peningkatan pekerjaan dan peluang perniagaan, serta menyokong pembangunan industri dan pertanian.
“Kita yakin usaha ini akan memberi kesejahteraan dan keselesaan kepada semua pihak terutamanya masyarakat luar bandar yang sentiasa memerlukan keperluan asas seperti elektrik yang mencukupi dan setanding dengan mereka di bandar, “ katanya sempena perasmian Loji Janakuasa Biogas 5.5 Megawat Felcra Jayaputra – Cenergi Berhad di Jayaputra dekat sini hari ini.
Loji tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut disertai Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Katanya, penggunaan biogas daripada sisa kelapa sawit dapat mengurangkan pembakaran sisa organik dan menghasilkan tenaga elektrik yang bersih dan mampan.
“Hal ini dapat membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan memanfaatkan sumber tenaga yang tersedia secara lokal di kawasan berdekatan kelapa sawit ditanam dan diproses.
“Perasmian loji jana biogas ini memberikan semangat baharu untuk Felcra Berhad mengembangkan penggunaan sumber sedia ada yang lebih optimum melalui kerjasama yang lebih strategik dengan rakan niaga kami yang lain pula,” katanya.
Katanya, Felcra Berhad sudah mula merencanakan usaha untuk mengembangkan seluas 230 juta hektar ladang untuk tanaman sawit, getah dan produk makanan serta sembilan kilang lagi di seluruh negara dengan melaksanakan pelbagai aktiviti projek hiliran yang boleh memanfaatkan penduduk sekitar.
“Sebelum ini Felcra Berhad telah menerokai serta mula memperoleh hasil dalam bidang industri keterjaminan makanan apabila beberapa projek seperti ternakan ayam pedaging tertutup di Tanjung Seratus, Rompin Pahang, tanaman fertigasi serta ternakan lembu secara fidlot dan projek perladangan di seluruh negara sudah mula menunjukkan hasil yang positif,” katanya. – SAHIH.